PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan beliau tiada maklumat dan tidak pernah melihat adendum yang didakwa berkaitan tahanan rumah melibatkan Datuk Seri Najib Razak dalam pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa mempunyai pengetahuan mengenai dokumen tambahan dalam adendum berkenaan.

Beliau bagaimanapun mengesahkan telah menerima surat daripada peguam bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Shafee Abdullah namun ia bukanlah berkaitan permohonan tahanan rumah.

“Bukan, bukan. Ia seperti mana yang disebut dalam mahkamah. Apa disebut dalam mahkamah, itulah kandungan surat beliau yang saya terima.

“Saya tiada maklumat berkaitan dokumen tambahan, dia kata dia ada. Sebab itu saya kata, saya akan teliti setakat mana yang ada pengetahuan kepada kita.

“(Pernah nampak adendum itu?) Tidak, tidak. Saya bukan anggota Lembaga Pengampunan. Saya pun tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan berkaitan adendum terhadap Najib seperti yang didesak peguamnya, Shafee baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan Najib mendakwa bahagian tambahan atau titah adendum dalam pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

Bekas Perdana Menteri itu membuat dakwaan itu apabila memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman titah adendum atau tambahan titah Al-Sultan Abdullah di Mahkamah Tinggi pada 1 April lalu, menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co.

Dalam notis permohonan yang dimuat turun melalui sistem carian mahkamah, Najib memohon perintah untuk semua atau seorang responden melaksanakan titah Al-Sultan Abdullah dan dengan serta merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.