Pernahkah anda menyayangi seseorang tapi tiada ikatan cinta yang membelenggu hati? Hendak dikatakan ikatan platonik mungkin juga tetapi ia sebenarnya lebih daripada itu. Ini bukan kisah sayang-menyayang antara anak dan ibu bapa atau adik-beradik tetapi dengan anak orang lain yang langsung tidak mempunyai ikatan darah. Kita tahu kita tidak mungkin jatuh cinta dengan insan tersebut namun perasaan itu terlalu kuat untuk kita mencurahkan kasih sayang sepenuh jiwa dan mengambil berat tentang dirinya.
Saya bersekolah asrama sewaktu di sekolah menengah maka adalah menjadi tradisi untuk anak-anak remaja yang baru mengenal mainan perasaan ini mengambil adik-adik junior yang comel sebagai adik angkat. Saya paling anti dengan budaya adik angkat ini. Tidak kira adik lelaki atau perempuan. Bagi saya semuanya membuang masa. Sedangkan adik kandung sendiri di rumah tidak terlayan inikan pula membuang waktu melayan anak orang dengan perangai mengada-ngada mereka. Maka sehinggalah saya tamat sekolah menengah langsung tiada adik angkat dalam kamus hidup saya.
Namun Tuhan Maha Kaya. Dia datangkan ujian kepada saya dengan menghadirkan seorang adik angkat perempuan ketika saya berada di universiti. Terlalu pelik namun itulah yang terjadi. Sebagai seorang senior, pastinya saya agak dikenali ramai kerana kenakalan dan kebolehan saya menyentuh hati orang dengan bahasa indah. Maka banyaklah kenalan juga musuh. Namun kehadiran gadis ayu yang baru menjejak 21 tahun ini sangat membekas. Saya terpaksa akui dia ini sangat cantik dan comel. Namun tidak pernah terlintas di hati untuk menjalinkan hubungan cinta dengannya kerana cita rasa dan piawaian saya terhadap perempuan terlalu ketat. Oleh itu sekadar menjadi adik kesayangan sudah memadai.
‘Too Much Love Will Kill You’
Pada mulanya memang saya berasa sangat bahagia dan bangga mempunyai adik kesayangan yang memang menjadi buruan para pria di kampus. Banyak yang iri hati tidak kurang yang menyindir-nyindir tajam. Saya tidak pernah peduli semuanya malahan dengan bangga menceritakan keseronokan dan keindahan menjadi seorang abang. Ke hulu ke hilir kami bersama sehinggakan ada yang menyangka kami bercinta. Saya akui tidak pernah mengalami perasaan sebegini. Ini kali pertama. Pelik sedikit tapi cukup indah. Saya rasakan lebih membekas daripada cinta. Itu hanya peringkat permulaan sahaja tanpa saya jangka hubungan abang adik ini lebih kompleks dan rumit berbanding kisah cinta biasa.
Betullah kata orang, too much love will kill you. Sebagai seorang abang yang penyayang dan over protective (itu kata teman-teman sekampus), tentulah saya akan mengambil berat dan ingin tahu segala aktiviti yang dilakukannya. Saya menjadi rujukan dalam banyak hal. Daripada segi pelajaran, hubungan dengan lelaki malahan hal kewangan juga saya banyak terbabit. Kalau ada jejaka yang ingin meraih cinta namun tidak berkenan di mata saya, sesungguh hati saya akan menentang habis-habisan. Kalau boleh saya inginkan yang terbaik buat dirinya. Tanpa saya sedar dia sudah tidak tahan dengan perangai obsessive dan possessive saya.
Perlahan-lahan dan dalam diam dia menjalinkan hubungan cinta dengan jejaka pilihan malahan sebolehnya menyorokkan daripada pengetahuan saya. Terkejut juga pada mulanya namun disebabkan tidak mahu mengeruhkan hubungan, saya terima dan redha sahaja. Namun rupanya dia semakin berubah dan menjarakkan diri. Apabila diajak keluar atau belajar bersama-sama bukan main lagi memberi alasan yang bukan-bukan. Rupanya ingin menghabiskan masa dengan yang tersayang. Saya cuba untuk memahami dengan sedar diri saya bukanlah kekasihnya. Saya pun perlahan-lahan menjarakkan diri biarpun terasa juga hati ini.
Begini Rupanya Penangan Adik Angkat
Cinta merubah segalanya. Semakin hari perhubungan kami semakin jauh. Dia tidak lagi mengirim ‘sms’ bertanya khabar. Andai saya yang menghantar mesej, beberapa jam kemudian barulah berbalas atau tiada tiada jawapan langsung. Pelajarannya juga semakin merosot dan akhirnya gagal beberapa subjek dalam peperiksaan. Tentulah saya mengamuk besar kerana selama ini saya yang mengambil berat tentang pelajarannya. Tanpa diduga saya pula menjadi mangsa herdikan dan tengkingannya. Siap mengatakan saya bukan ibu bapa atau abang kandung untuk saya sibuk-sibuk mengambil tahu. Hancur hati saya ketika itu.
Sepanjang malam saya tidak tidur dengan tapak tangan terlekat di dahi. Tidak pernah saya rasakan dilayan seperti bangsat dan sampah sebegini. Namun akhirnya saya bangkit dan keraskan hati. Saya katakan pada diri, I’ve got nothing to lose at all. Saya buang terus dia daripada hidup saya dan langsung tidak ingin memandang apatah lagi menegurnya. Lama-kelamaan saya tenang dan kembali bahagia biarpun ramai yang tertanya-tanya kenapa saya tidak lagi rapat dengan adik angkat saya itu.
Baru saya tahu penangan adik angkat ini. Indah tetapi kalau ada ribut melanda, pedihnya terlalu bisa berbanding putus cinta. Mungkin anda juga pernah mengalami sebegini. Namun inilah pengajaran paling berguna buat saya. Jangan terlalu sayangkan seseorang melainkan dia ialah ibu bapa atau insan yang kita cintai. Saya titipkan serangkap pantun untuk kita sama-sama renungi.
Sakit menebang kayu berlubang,
Jari luka terkena duri;
Sakit menumpang kasih orang,
Baiklah saya membawa diri.
Teks: KHAIRUL NIZAM ABD RAUB