[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Saksi dengar jeritan, suspek bawa parang larikan barangan kemas

Sinar Harian 09/05/2025 | 08:44 MYT
Lokasi kejadian rompakan kedai emas di sebuah pasar raya dekat Falim pada Jumaat. -Sinar Harian
IPOH: "Saya dengar suara orang menjerit, tak lama selepas itu nampak dua lelaki keluar dari kedai bawa parang panjang."

Ringkasan AI
  • Dua lelaki bersenjata parang merompak kedai emas di pasar raya Falim, mengambil barangan kemas bernilai hampir RM400,000.
  • Suhaila, saksi kejadian, melihat suspek keluar dari kedai emas dan orang ramai berlari menyelamatkan diri.
  • Polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian, yang berlaku sekitar jam 1 petang tanpa melibatkan sebarang kecederaan.

Demikian kata Suhaila, 26, yang menyaksikan kejadian rompakan kedai emas di sebuah pasar raya dekat Falim di sini pada Jumaat.
Suhaila yang bekerja di premis menjual kasut dalam pasar raya tersebut berkata, sebelum kejadian dia ternampak sebuah kereta dipercayai milik suspek diletakkan betul-betul di hadapan pintu masuk pasar raya.
Bagaimanapun menurutnya, keadaan itu tidak menimbulkan syak wasangka kerana menyangka ia kenderaan yang mahu digunakan di ruang pameran.
"Bila dengar orang menjerit, saya terkejut. Nampak orang ramai mula berlari-lari seperti mahu selamatkan diri.
"Saya sendiri pun masuk dalam stor dan menyorok," katanya ketika ditemui pemberita.
Menurut Suhaila, dia dapat melihat dua suspek dengan seorang daripadanya bertubuh besar, memakai penutup muka penuh keluar dari kedai emas tersebut.
Katanya, seorang daripada mereka turut dilihat memegang senjata tajam seperti parang panjang.
"Ini kali pertama saya berdepan situasi cemas begini sepanjang tiga tahun bekerja di sini," katanya.
Kejadian sekitar jam 1 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan.
Maklumat awal menyebut, suspek mengambil barangan kemas yang dianggarkan bernilai hampir RM400,000 sebelum melarikan diri dengan kenderaan.
Setakat jam 3.30 petang, siasatan polis di lokasi kejadian masih berjalan. -Sinar Harian
#kedai emas #pasar raya Falim #rompakan #barangan kemas