KUALA LUMPUR: Peguam bela Lim Guan Eng, Gobind Singh Deo mendakwa, saksi pendakwaan dalam kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang memberi keterangan berbeza.

Menurut Gobind, pihaknya berpendirian wang suapan RM2 juta dirujuk dengan nama kod 'coklat' yang didakwa dibayar kepada Guan Eng sebenarnya diberikan kepada pihak ketiga bagi tujuan lain.

Saksi ke-28 pendakwaan iaitu bekas Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Azli Adam turut memberikan keterangan dalam kes berlainan di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung baucar bayaran RM2 juta berkenaan.

Azli dalam keterangannya di Shah Alam berkata baucar bertarikh 17 Ogos 2017 itu diberi kepada ahli perniagaan, G Gnanaraja kepada pihak ketiga bagi tujuan lain yang tiada kena mengena dengan anak guamnya (Guan Eng).

Gobind berkata, pembelaan memerlukan nota keterangan daripada Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk menyokong permohonan mereka bagi mendapatkan laporan forensik mengandungi perbualan WhatsApp antara Gnanaraja dan Pengarah CZCSB, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Sehubungan itu, Gobind memohon pendengaran permohonan untuk mendapatkan dokumen itu yang sepatutnya didengar hari ini, ditangguhkan sekurang-kurangnya selama dua minggu bagi membolehkan pihaknya mendapatkan nota keterangan daripada mahkamah Shah Alam.

Hakim Azura Alwi kemudian memutuskan prosiding hari ini ditangguhkan kepada 1 Mac ini.