KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa cek bank berjumlah RM63,800 atas nama Zam Engineering & Construction bertarikh 22 Mac 2014 tidak dapat disahkan milik peribadi Tan Sri Shahrir Ab Samad.

Perkara itu didedahkan Pengurus Perkhidmatan Perbankan Public Bank Berhad yang juga saksi pendakwaan ketiga, Tan Kok Kiong, 32, ketika pemeriksaan balas peguam Shazreen Mohd Hatta mewakili bekas Pengerusi Felda itu.

Kok Kiong menjelaskan bahawa beliau tidak dapat mengesahkan sama ada wang itu diamanahkan kepada Shahrir atau sebaliknya.

Dia turut berkata, tidak mengetahui wang terbabit digantikan semula atau tidak oleh tertuduh.

Dalam pada itu ketika pemeriksaan balas oleh seorang lagi peguam Shahrir, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Kok Kiong memberitahu beliau dirakam kenyataan sebanyak dua kali oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun dia turut menjelaskan tidak diminta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk dirakam keterangan ketika menjawab pertanyaan Dzulkifli.

Sementara itu, saksi keempat pendakwaan yang juga Penolong Pengurus Cawangan Malayan Banking Berhad, Salniza Abdul Rahman, 49, mengesahkan UMNO Cawangan Taman Kebun telah membuka akaun di cawangan Malayan Banking Tebrau.

Jelasnya, permohonan itu atas nama tiga individu termasuk Shahrir yang juga Ketua UMNO Cawangan Taman Kebun ketika itu.

Saksi keempat pendakwaan itu juga mengesahkan cek Public Islamic Bank atas nama UMNO cawangan berkenaan berjumlah RM10,000 bertarikh 7 Disember 2013.

Cek berkenaan jelas Salniza, kemudian didepositkan melalui mesin cek ke akaun Maybank Islamic berdasarkan tulisan tangan pada bahagian belakang cek.

Mengikut pertuduhan, Shahrir, 72, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dia dituduh tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya. 

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Perbicaraan yang dijalankan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.