KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau tidak mengetahui bekas Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli mempunyai kepentingan dalam Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM).

Simsudin Sidek, 53, berkata dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah LPL yang berlangsung di Hotel Le Meridien, KL Sentral, pada 25 Julai 2019, Rozman tidak mengisytiharkan bapa dan adiknya iaitu Isli Siput @ Ali serta Tony Noolan adalah pemegang saham syarikat tersebut.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata beliau dan Rozman yang merupakan ahli lembaga pengarah LPL menghadiri mesyuarat tersebut bagi membincangkan kertas cadangan bagi proses pemilihan operator pelabuhan itu.

"Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa pengurusan telah menerima maklum balas daripada tiga syarikat iaitu Bintulu Port Sdn Bhd, Labuan; Liberty Port Management Sdn Bhd dan LP Multi Terminal Sdn Bhd berkaitan kertas cadangan teknikal dan kos.

"Pengerusi mesyuarat, Chan Foong Hin memaklumkan bahawa beliau menerima surat daripada Menteri Pengangkutan Malaysia mengenai rayuan syarikat LLPM untuk menjadi operator pelabuan terminal tersebut bagi tempoh 10 tahun, selain menerima beberapa permohonan dari syarikat lain yang berminat untuk menjadi operator pelabuhan Labuan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan Rozman yang berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Simsudin berkata pada 12 Dis 2019 mesyuarat lembaga pengarah LLP yang diadakan di Hotel Le Meridien, Putrajaya bagi memanggil empat syarikat iaitu Johor Port Bhd, Straits Inter Logistics Bhd dan LLP untuk sesi pembentangan dan soal jawab.

"Dalam sesi itu, Rozman hadir dan hanya mengisytiharkan beliau tidak mempunyai kepentingan dalam Dewan Perniagaan Melayu Labuan (DPLM) kerana tidak lagi menjadi Yang Dipertua dewan itu," katanya.

Sementara itu, Simsudin bersetuju dengan cadangan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman bahawa ahli politik itu tidak cuba membuat atau mempengaruhi keputusan dalam mana-mana mesyuarat supaya melantik LLPM sebagai operator terminal pelabuhan itu

Rozman, 57, dituduh sebagai pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi LPL, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 20 Dis ini.

-- BERNAMA