PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan pembebasan bekas Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali, atas pertuduhan salah guna kedudukan berhubung lapan unit kondominium bernilai hampir RM2 juta, sembilan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md Said menolak rayuan pihak pendakwaan selaku perayu bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang melepas dan membebaskan Syed Afendy Ali, 60, daripada pertuduhan berkenaan.

Hakim Kamaludin dalam keputusan sebulat suara, berkata mahkamah mendapati alasan perayu yang dikemukakan dalam rayuan ini tidak dapat meyakinkan mahkamah, untuk mengatakan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dalam memberikan keputusan yang mengetepikan dapatan hakim Mahkamah Sesyen.

Beliau berkata mahkamah ini tidak akan mengganggu dapatan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi, yang mendapati tiada prima facie telah dibuktikan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan terhadap Syed Afendy Ali.

"Oleh itu, rayuan pihak pendakwaan ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan," kata Kamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Selepas panel hakim memberikan keputusan, Syed Afendy Ali dilihat melakukan 'sujud syukur' sebelum beredar daripada mahkamah.

Pada 27 Nov 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah membebaskan Syed Afendy Ali, selepas membenarkan rayuannya terhadap hukuman penjara lapan bulan dan denda RM80,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 20 Mac 2018.

Hakim Sequerah ketika membuat keputusan itu berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen dalam Seksyen 165 Kanun Keseksaan, bahawa Syed Afendy Ali menerima harta tak alih (unit kondominium) untuk individu yang disebut seperti dalam pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga kelapan, Syed Afendy Ali, yang sewaktu kejadian menyandang jawatan Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan (JPEPP) DBKL, didakwa menggunakan kedudukannya, untuk mendapatkan lapan unit kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tun Razak di sini.

Aset tersebut masing-masing bernilai RM249,990 daripada syarikat Danau Lumayan Sdn Bhd, adalah untuk empat individu iaitu Minah Abdullah, Mazwan Amin Mohd Noor, Syed Ashraf Ali Syed Afendy Ali dan Rodziah Abd Samad.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Pengarah JPEPP DBKL, di Kuala Lumpur, di antara 6 Sept 2013 dan 16 Okt 2014 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala Syed Afendy Ali diwakili peguam Hamidi Mohd Noh.

-- BERNAMA