Salah guna kuasa: Reman tamat, pengurus besar agensi kerajaan bebas

Bernama
Februari 22, 2017 05:28 MYT
Pengurus itu ditahan dalam Op Nafas yang dilancarkan SPRM kerana didakwa menggunakan kedudukan dengan menganugerahkan lebih 50 projek bernilai hampir RM1 juta kepada dua syarikat milik isterinya. - Gambar hiasan
Seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan yang direman bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa membabitkan pemberian projek bernilai hampir RM1 juta kepada syarikat isterinya, dibebaskan hari ini.
Majistret, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim membenarkan lelaki berusia 62 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas reman ke atasnya berakhir hari ini.
Majistret membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM30,000 dan beliau membayar wang jaminan tersebut.
Beliau ditahan kira-kira jam 11 pagi Rabu lepas menerusi Op Nafas yang dilancarkan SPRM kerana didakwa menggunakan kedudukan dengan menganugerahkan lebih 50 projek bernilai hampir RM1 juta kepada dua syarikat milik isterinya.
-- BERNAMA
#agensi kerajaan #Op Nafas #pengurus besar #reman #salah guna kuasa #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia