MALAYSIA

Salah guna kuasa, setiausaha persatuan staf akademik universiti ditahan

Bernama 03/09/2025 | 07:30 MYT
Majistret mengeluarkan perintah reman bermula hari ini hingga 7 Sept. - Gambar hiasan
MELAKA: Setiausaha persatuan staf akademik di sebuah universiti awam di sini direman lima hari bagi membantu siasatan dakwaan menyalahgunakan kedudukan untuk menggunakan wang persatuan berjumlah RM84,500, tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Setiausaha persatuan staf akademik sebuah universiti awam direman lima hari bagi siasatan dakwaan menyalahgunakan wang persatuan sebanyak RM84,500 untuk membayar kos guaman dan perintah mahkamah bagi pihak isterinya.
  • Suspek berusia 47 tahun ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
  • Perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas permohonan SPRM, dengan siasatan dijalankan susulan aduan yang diterima sebelum ini.


Majistret Uthman Abd Ghani mengeluarkan perintah reman bermula hari ini hingga 7 Sept selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Menurut sumber, lelaki berusia 47 tahun itu disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan menggunakan duit persatuan untuk membayar kos guaman dan kos perintah mahkamah bagi pihak isterinya pada tahun lepas.

"Suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka pada 5.10 petang semalam," katanya.

Pengarah SPRM Melaka Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA



#kes rasuah #SPRM #wang persatuan #salah guna kuasa