Orang ramai yang menyalahgunakan laluan khas basikal akan dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk kenderaan ditunda.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL ) mempunyai hak untuk mengambil tindakan, berikutan papan tanda telah diletakkan pada laluan khas berkenaan.

Kata Ahmad Phesal, laluan basikal akan turut diwartakan untuk memastikan orang ramai mematuhi peraturan yang menghalang kenderaan lain selain basikal daripada menggunakan laluan berkenaan.

“Bila ada papan tanda maksudnya itu adalah undang-undang. Siapa langgar undang-undang, tindakan akan diambil dan bila-bila masa kita akan tarik kereta.

“Selepas ini, kita akan adakan kempen bagi menyeru orang ramai mematuhi tanda laluan ini. Begitu juga, kita akan wartakan laluan trek basikal di Kuala Lumpur,” jelas Ahmad Phesal yang ditemui selepas selepas perlancaran buku ‘Discover Malaysia By Bicycle Guidebook’ di Dataran DBKL 1, Jalan Raja Laut di sini, hari ini.

Ahmad Phesal berkata demikian sebagai mengulas insiden penyalahgunaan pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan kenderaan di laluan berkenaan di kawasan Brickfield baru-baru ini.

Tambah Ahmad Phesal, pihak DBKL telah bertindak menunda kenderaan berkenaan.

Sebelum ini, melalui perkongsian di laman sosial, Astro AWANI melaporkan mengenai salah guna pemilik kereta ke atas laluan basikal pertama di Kuala Lumpur itu.

Laluan berkenaan jelas terhalang akibat sikap tidak bertanggungjawab pemilik kenderaan terbabit.

Laluan khas basikal sepanjang 5.5 kilometer dari Dataran Merdeka ke Mid Valley, Bangsar itu mula dibina pada 2013 dan menelan belanja sekitar RM700,000.

Laluan khas berkenaan antara usaha menggalakkan penggunaan basikal bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di samping mengurangkan kadar pencemaran di ibu kota.