MALAYSIA

Salah guna MyKad: JPN perkukuh sistem pengesahan identiti

Bernama 19/10/2025 | 11:02 MYT
Penerima bantuan yang menjadi mangsa penyalahgunaan MyKad disaran membuat laporan polis, bagi membolehkan siasatan dijalankan dan baki sumbangan dipulangkan. - Gambar hiasan/Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan bahawa kawalan teknikal dan keselamatan sistem MyKad akan terus diperkukuh bagi memastikan ketepatan data dan keselamatan identiti pengguna khususnya bagi pemberian program subsidi bersasar.


Ringkasan AI
  • JPN memberi jaminan keselamatan sistem MyKad akan terus diperkukuh, khususnya bagi memastikan ketepatan data dan keselamatan identiti penerima subsidi bersasar seperti SARA dan BUDI MADANI RON95.
  • Langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan, termasuk pemadanan data MyKad secara berkala, semakan versi cip terkini, serta kerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk mengelakkan penyalahgunaan kad.
  • Penerima bantuan yang menjadi mangsa penyalahgunaan MyKad disarankan membuat laporan polis, bagi membolehkan siasatan dijalankan dan baki sumbangan dipulangkan kepada mereka yang terjejas.


JPN selaku agensi pembekal utama data kewarganegaraan kepada Kementerian Kewangan (MOF) bagi pelaksanaan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95, dalam kenyataan menegaskan bahawa semua data yang dibekalkan adalah rasmi, sah dan disemak secara berlapis melalui sistem keselamatan dalaman.

Bagaimanapun jabatan itu memandang serius aduan penyalahgunaan MyKad di peringkat penebusan bantuan dan langkah menambah baik sistem pengesahan identiti sedang dilaksanakan dengan kerjasama MOF.

"JPN juga menegaskan bahawa penambahbaikan sistem kini dilaksanakan dengan memberikan keutamaan kepada ketepatan data dan keselamatan pengguna MyKad, agar isu teknikal yang timbul tidak berulang dalam pelaksanaan subsidi bersasar seterusnya," menurut JPN.

Menurut kenyataan itu, pemadanan dan kemas kini data MyKad serta versi cip terkini antara JPN dan MOF akan dilaksanakan dengan lebih kerap bagi memastikan maklumat penerima sentiasa tepat, terkini dan mengelakkan penyalahgunaan kad yang hilang, rosak atau diganti.

MOF dan JPN turut menetapkan agar laporan polis perlu dibuat penerima bantuan sekiranya mendapati MyKad mereka disalah guna bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan baki sumbangan dipulangkan kepada penerima terlibat.

"Jabatan ini kekal komited untuk menyokong dasar Kerajaan Madani dalam memastikan subsidi dan bantuan kerajaan sampai kepada penerima yang benar-benar layak dengan selamat, telus dan berintegriti," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya mengambil maklum berlaku penyalahgunaan MyKad untuk menebus bantuan SARA oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan JPN dan MOF.

-- BERNAMA



#Jabatan Pendaftaran Negara #mykad #program subsidi bersasar #sara #BUDI95