KUALA LUMPUR:Lebihan tenaga kerja perlu disalurkan kepada sektor yang mengalami kenaikan permintaan pekerja secara mendadak.

Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menegaskan, dengan maklumat lebihan penawaran tenaga kerja yang terkumpul di pangkalan data Pertubuhan Keselamatan Social (Perkeso,) maklumat permintaan tenaga kerja perlu diselaraskan agar dapat dipadankan dengan maklumat penawaran.

"Dasar pasaran buruh aktif (active labour market policy) perlu dilancarkan bagi mengatasi
ketidaksepadanan kemahiran pekerja di sektor asal kepada sektor baharu.

"Latihan peningkatan kemahiran (upskilling), latihan kemahiran semula (reskilling) dan kemahiran silang (cross-skilling) yang ditawarkan oleh pelbagai agensi seperti HRDF, Perkeso, SMECorp, MARA dan Protégé perlu digerakkan secara intensif bagi memenuhi keperluan ini.

"Sekiranya peralihan pekerja kepada sektor baru ini bersifat sementara, jalan tengah boleh difikirkan
agar terma kontrak pekerjaan disertakan dengan recall clause supaya majikan asal boleh mendapatkan semula tenaga kerja mereka apabila perniagaan semakin pulih," katanya dalam ucapan sempena penerbitan laporan berkala KRI – Work in an Evolving Malaysia: The State of Households 2020 Part II, pada Selasa.

Jelas Nor Mohamed, kerjasama dan penyelarasan antara agensi-agensi yang menawarkan perkhidmatan kepada pekerja dan majikan di negara ini perlu disegerakan dengan pelan tindakan yang praktikal.

Dalam pada itu katanya, krisis COVID-19 telah mendedahkan beberapa kelompongan dalam beberapa sektor penting yang perlu dimantapkan.

Antaranya termasuk jaminan sektor kesihatan dan perubatan mempunyai kapasiti yang mencukupi dalam menghadapi wabak penyakit berskala besar pada masa hadapan; dan memperkemaskan rantaian bekalan bagi sektor pertanian dan makanan.

"Sektor pendidikan pula perlu lebih bersedia dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran melalui internet tanpa melibatkan pertemuan dalam kelas biasa.

"Di samping mengukuhkan kualiti jalur lebar, masih banyak yang perlu dilakukan dalam membangunkan kandungan pelajaran dalam bentuk digital (digital contents), melatih para guru dan pensyarah dengan teknologi digital, di samping merapatkan jurang digital antara miskin-kaya dan bandar-desa agar tiada anak-anak yang tercicir.

"Dalam jangka masa pendek dan sederhana, keutamaan yang perlu diberi perhatian ialah memastikan ketahapsediaan dan kemampuan sektor-sektor tersebut menghadapi krisis yang serupa pada masa hadapan yang mungkin akan timbul dengan lebih kerap. Lebihan tenaga kerja boleh disalurkan ke sektor-sektor penting ini," katanya.

Dalam pada itu ujar Nor Mohamed, kejutan yang dibawa COVID-19 turut memberi kesan negatif kepada beberapa sektor tanpa belas kasihan.

Katanya, dalam situasi ini, pelaburan awam menjadi penting dalam memacu pertumbuhan melalui sumber ekonomi baharu bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti.

"Inilah masa yang paling sesuai untuk membangunkan sektor strategik seperti teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui, sektor penjagaan dan memperluaskan ekosistem digital ekonomi.

"Usaha mempelbagaikan sumber ekonomi akan menyeimbangi risiko ketidakstabilan akibat terlalu bergantung kepada beberapa sektor ekonomi sahaja.

"Tenaga kerja yang baharu memasuki pasaran buruh dan lebihan tenaga kerja sedia ada akan dapat diserap ke dalam aktiviti-aktiviti ekonomi baharu ini," katanya.