KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini perlu memastikan sumbangan kepada Palestin disalurkan melalui tabung yang ditubuhkan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipercayai.

Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni menjelaskan, ia sekali gus menjadi tanda solidariti rakyat untuk pembangunan semula Palestin yang berdepan peperangan membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman Yahudi.

"Kepada rakyat Malaysia khususnya, sebagai salah satu dari tanda sokongan kita kepada saudara Muslim, yang pertama, marilah kita bersama-sama menderma kepada tabung-tabung yang telah ditubuhkan.

"Kedua, sekiranya kita tidak mampu untuk memberikan sumbangan tersebut, titipkanlah doa kita setiap kali selepas solat fardhu kepada saudara Muslim kita di Palestin. Insya-Allah mereka ini diberikan kekuatan oleh Allah," katanya semasa ditemui selepas solat hajat khusus untuk Palestin di Masjid Negara pada Isnin.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh sebelum ini menyarankan pihak berkuasa agama negeri di seluruh negara menganjurkan solat hajat di masjid dan surau bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin.

Katanya, solat hajat itu bagi menyahut titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyeru umat Islam di Malaysia menunaikannya bagi mendoakan umat Islam di negara itu.

Sejak serangan yang berlaku pada penghujung Ramadan, dilaporkan lebih 126 penduduk Palestin, termasuk 31 kanak-kanak terbunuh, manakala lebih 920 cedera.