NATIONAL
Saluran paip gas ibarat bom jangka, tahap keselamatan perlu dipertingkat di kawasan berisiko tinggi - Pensyarah
Keadaan di kawasan kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights yang telah padam sepenuhnya ketika tinjauan pada 2 April lalu. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, yang mengakibatkan ratusan mangsa cedera dan harta benda rosak telah mencetuskan kebimbangan serta menjejaskan kesejahteraan psikologi terhadap mangsa dan masyarakat secara umum.
Menurut Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Muhamad Azahar Abas, insiden seumpama itu bukanlah kali pertama berlaku, malah sejarah menyaksikan beberapa insiden besar akibat letupan paip gas dan infrastruktur tenaga.
Beliau memberi contoh kejadian letupan di San Juanico, Mexico pada 1984 yang meragut lebih 500 nyawa dan mencederakan lebih 5,000 mangsa akibat kegagalan sistem penyimpanan gas.
"Sejarah juga merekodkan letupan besar di Jesse, Nigeria pada 1998 yang meragut 1,082 nyawa disebabkan kebocoran salur paip gas darat.
"Insiden-insiden seperti ini seharusnya menjadi iktibar kepada Malaysia dengan mengambil langkah drastik untuk memastikan keselamatan sistem tenaga negara tidak dipandang enteng," katanya dalam satu kenyataan.
Muhamad Azahar berkata, letupan paip gas bukan sahaja memberi kesan fizikal tetapi turut memberi impak kepada sosio-ekonomi dan psikologi masyarakat.
"Dari segi jangka pendek, mangsa yang mengalami kerosakan tempat tinggal terpaksa mencari tempat kediaman sementara dalam keadaan serba kekurangan.
"Dari segi jangka panjang, kesan psikososial juga tidak boleh diabaikan.
"Trauma akibat letupan boleh menyebabkan gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) dan ketidakstabilan emosi dalam kalangan mangsa, yang berpotensi memberi kesan kepada kehidupan harian mereka untuk tempoh yang lama."
Insiden sebegini, katanya, bukan sahaja mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat, tetapi juga boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem pengurusan tenaga negara.
Ia sekali gus boleh menjejaskan keyakinan terhadap keselamatan infrastruktur tenaga negara dalam jangka masa panjang.
"Justeru, persoalan utama yang harus dijawab adalah, bagaimanakah kita boleh memastikan kejadian seperti ini tidak berulang?
"Pertama, pemantauan pembangunan di kawasan kritikal perlu dipertingkatkan. Lokasi-lokasi dengan infrastruktur gas, termasuk saluran paip gas darat, harus dikawal ketat bagi mengelakkan pembangunan yang boleh menjejaskan sistem paip bawah tanah," katanya.
Menurutnya, saluran paip gas darat juga tertakluk kepada kajian kesan alam sekeliling (EIA) yang memerlukan pemantauan ketat bagi memastikan operasi yang selamat dan tidak menjejaskan ekosistem serta kesejahteraan penduduk setempat.
Pihak berkuasa tempatan dan pemaju juga, kata Muhamad Azahar, perlu memastikan bahawa setiap projek pembinaan tidak memberi tekanan kepada paip gas sedia ada.
"Kedua, kesedaran awam juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko letupan paip gas. Beberapa negara telah menunjukkan pendekatan berkesan dalam hal ini," tambahnya.
Di Kanada, katanya, program 'Public Awareness Program' oleh syarikat tenaga Enbridge Gas memberikan pendidikan keselamatan dan sesi latihan kecemasan secara berkala kepada penduduk berhampiran laluan paip gas mereka.
Selain itu, mereka juga menggunakan sistem pemberitahuan masa nyata kepada penduduk untuk memaklumkan sebarang kebocoran paip gas.
Oleh sebab itu, penduduk yang tinggal berhampiran dengan saluran paip gas harus diberikan maklumat yang jelas mengenai prosedur keselamatan dan tindakan kecemasan yang perlu diambil sekiranya berlaku kebocoran saluran paip gas darat, katanya.
Dalam hal ini, Muhamad Azahar berkata, syarikat tenaga perlu menjalankan kempen kesedaran secara berkala agar masyarakat lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Sementara itu, langkah pencegahan terbaik ketiga, menurut beliau, adalah melalui kerjasama antara kerajaan, syarikat tenaga dan masyarakat.
Beberapa negara telah membuktikan keberkesanan pendekatan ini, seperti di Jerman, di mana terdapat program 'Gas Safety Partnership' yang menggabungkan kerajaan, syarikat tenaga dan masyarakat dalam memantau sistem saluran paip gas mereka.
Begitu juga di Amerika Syarikat, wujud sistem 'Pipeline and Hazardous Materials Safety Administration' (PHMSA) yang menetapkan piawaian keselamatan yang ketat dan mewajibkan latihan keselamatan berkala kepada penduduk berhampiran kawasan paip gas.
"Dalam mencari jalan ke hadapan, kita tidak boleh menuding jari antara satu sama lain, sebaliknya semua pihak harus memikul tanggungjawab bersama bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang.
"Penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas terhadap pematuhan keselamatan dan pemberdayaan masyarakat dalam membantu memantau infrastruktur tenaga adalah langkah yang perlu diambil segera.
"Letupan di Putra Heights bukan sekadar satu insiden, tetapi satu peringatan bahawa aspek keselamatan tenaga negara harus diberi perhatian serius. Jangan biarkan insiden ini berulang," tambahnya.