SAM gesa ambil tindakan segera kerja korek pasir di Sedim

Bernama
Februari 11, 2018 20:45 MYT
Kerja mengorek dan mengambil pasir dikhuatiri akan memberi implikasi negatif terhadap ekosistem dan alam sekitar jika ia dikendalikan tanpa mematuhi garis panduan ditetapkan pihak berwajib. - Astro AWANI/Fail
Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengesa pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera berhubung kegiatan mengorek pasir yang sedang aktif dijalankan di Kampung Pekan Sedim dan Kampung Bukit Rawa, Sedim di Kedah kerana menimbulkan kebimbangan penduduk di situ.
Presiden SAM S.M Mohamed Idris berkata kebanyakan rumah penduduk berada di tepi jalan dan tidak mustahil akan mengundang pelbagai masalah berkaitan pencemaran alam sekitar.
Katanya SAM juga bimbang kerja-kerja pengeluaran pasir itu berkemungkinan akan menyebabkan struktur tanah menjadi tidak stabil yang boleh mengakibatkan hakisan dan jerlus.
"Jika dibiarkan perkara itu berlanjutan akan meninggalkan lompang besar yang sukar dipulihkan dan proses pemulihan pula memerlukan belanja yang besar dan mengakibatkan kerugian kepada negara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata kerja mengorek dan mengambil pasir itu juga dikhuatiri akan memberi implikasi negatif terhadap ekosistem dan alam sekitar jika ia dikendalikan tanpa mematuhi garis panduan ditetapkan pihak berwajib.
"Apa yang mendukacitakan kami ialah kenapa pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti Pejabat Tanah dan Daerah Kulim, Pejabat Tanah dan Daerah Baling, Pejabat Tanah dan Galian Kedah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak mempertimbangkan dengan serius beberapa aduan dibuat SAM serta penduduk," katanya. -- Bernama
#alam sekitar #ekosistem #Kampung Bukit Rawa #Kampung Pekan Sedim #Kedah #korek pasir #S M Mohamed Idris #Sahabat Alam Malaysia #SAM #Sedim