MALAYSIA

Saman fitnah: MP Kepong diarah bayar ganti rugi RM75,000 berbanding RM2 juta

Bernama 29/09/2025 | 05:45 MYT
Lim Lip Eng. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng hari ini diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM75,000 sahaja berbanding jumlah asal RM2 juta kepada MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya, Datuk Seri Jessy Lai Cha Suang, dalam kes saman fitnah.

Bagaimanapun, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Faizah Jamaludin, secara sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Lim telah memfitnah kedua-dua responden.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Sequerah berkata jumlah ganti rugi sebanyak RM2 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah keterlaluan.

Panel itu turut mengurangkan jumlah kos yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes berkenaan iaitu daripada RM250,000 kepada RM50,000.

Pada 16 Mac 2023, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Lim membayar ganti rugi sebanyak RM2 juta kepada syarikat e-dagang itu dan Lai selepas membenarkan saman fitnah mereka terhadap beliau.

Lim telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada hari yang sama.

Pada 16 Mac 2023, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Lip Eng membayar ganti rugi sebanyak RM2 juta kepada syarikat e-dagang itu dan Jessy selepas membenarkan saman fitnah mereka terhadap beliau.

Lip Eng telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada hari yang sama.

Sequerah berkata panel itu bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi bahawa perkataan yang dipertikai adalah fitnah dan telah mencemarkan reputasi responden.

Beliau berkata, kenyataan Lip Eng telah dibuat berdasarkan andaian dan mendakwa Jessy telah memberi rasuah kepada pegawai kerajaan untuk mengelakkan tindakan penguatkuasaan.

"Defendan telah mengaku bahawa beliau tidak mendapatkan penjelasan daripada plaintif sebelum membuat kenyataan itu. Beliau juga gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk mengesahkan kebenaran.

"Ia adalah satu dakwaan serius yang telah menjejaskan reputasi plaintif. Oleh itu, tiada alasan untuk campu tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman plaintif," katanya.

MonSpace dan Jessy diwakili peguam Ivanpal Singh Grewal dan Dhanesh Subramaniam Nair manakala Lip Eng diwakili Datuk Sankara Nair.

Dalam saman yang difailkan pada Jun 2019, Jessy berkata, Lip Eng telah mendakwa beliau menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur Cina.

Jessy berkata kenyataan Ahli Parlimen Kepong itu, yang disiarkan dalam media berbahasa Inggeris dan Cina, membawa maksud beliau seorang yang tidak jujur.

Jessy juga berkata, Lip Eng telah mengeluarkan kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 selepas ahli politik berkenaan membawa sekumpulan individu, yang didakwa sebagai pelabur MonSpace, ke pejabatnya sebelum membuat laporan polis terhadap beliau.

Beliau mendakwa kenyataan Lip Eng telah memberi tekanan kepada pihak berkuasa termasuk polis, Bank Negara Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengambil tindakan terhadapnya.

-- BERNAMA








#Lim Lip Eng #MonSpace #saman fitnah #Mahkamah Rayuan