Saman fitnah Sultanah Nur Zahirah terhadap editor Sarawak Report diteruskan

Astro Awani
Mac 28, 2022 12:41 MYT
Pengurusan kes akan diadakan pada 4 April untuk menetapkan tarikh perbicaraan baharu bagi kes sivil itu. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Saman fitnah Sultanah Nur Zahirah terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan dua yang lain akan diteruskan, kata peguam baginda Haaziq Pillay Abdullah.
Haziq menjelaskan, ini susulan keputusan pesuruhjaya kehakiman John Lee pada Isnin yang menolak permohonan Rewcastle-Brown untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu pelupusan prosiding jenayahnya.
"Hakim memaklumkan tiada merit dalam permohonan itu," kata Haaziq.
Lee juga mengarahkan Rewcastle-Brown membayar kos kepada Sultanah Terengganu RM5,000.
Beliau berkata pengurusan kes akan diadakan pada 4 April untuk menetapkan tarikh perbicaraan baharu bagi kes sivil itu.
Peguam Mervyn Lai, yang mewakili Rewcastle-Brown, turut mengesahkan keputusan prosiding hari ini, yang dijalankan dalam talian.
November lalu, Rewcastle-Brown memfailkan usul untuk memindahkan dan membatalkan pertuduhan bahawa dia telah melakukan fitnah jenayah terhadap sultanah.
Beliau berkata pertuduhan itu difailkan di mahkamah majistret Kuala Terengganu berhubung artikel serupa yang dikatakan menjadi subjek tindakan fitnah itu.
Beliau berkata pertuduhan itu mesti dibatalkan kerana ia dilakukan dengan niat jahat, berniat jahat, dan penyalahgunaan proses mahkamah dan kuasa pendakwaan.
Pada 2018, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman RM300 juta terhadap Rewcastle Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise dan pencetak Vinlin Press dan dua yang lain kerana didakwa memfitnahnya dalam sebuah buku, ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’.
Saman tersebut menyatakan kenyataan berunsur fitnah itu membayangkan bahawa baginda telah campur tangan dalam pentadbiran Terengganu dan telah menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA), yang kemudiannya menjadi 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Sultanah Nur Zahiran mendakwa kenyataan itu juga membayangkan bahawa baginda telah membantu Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, untuk menjadi penasihat TIA.
Defendan berkata mereka bergantung pada pembelaan justifikasi, komen yang adil dan keistimewaan yang layak.
#Sultanah Nur Zahirah #Clare Rewcastle Brown #Sarawak Report #editor #saman fitnah #TIA #1MDB #mahkamah