ISTIADAT PERNIKAHAN DIRAJA | Raja Muda Selangor bakal melangsungkan pernikahan pada 2 Oktober ini
MALAYSIA

Saman fitnah: Usahawan tuntut Rafidah Ibrahim bayar ganti rugi lebih RM200,000

Bernama 22/09/2025 | 07:01 MYT
Haris berkata pihaknya telah memberi banyak masa kepada Rafidah untuk menyelesaikan tuntutan namun ia tidak berlaku hinggalah hari ini. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seorang usahawan menuntut agar selebriti merangkap aktivis Rafidah Ibrahim membayar ganti rugi berjumlah RM281,200 kepada beliau dan syarikatnya dalam tempoh tujuh hari berhubung kes saman terhadap wanita itu.


Ringkasan AI
  • Usahawan Datuk Haris Embong menuntut Rafidah Ibrahim membayar ganti rugi RM281,200 dalam tempoh tujuh hari, selepas Mahkamah Tinggi memerintahkannya membayar jumlah itu pada 31 Julai lalu.
  • Jumlah tuntutan meliputi ganti rugi kepada Haris (RM100,000), syarikat Arisprop Holdings (RM150,000), kos (RM30,000) dan yuran peruntukan (RM1,200); kegagalan membayar akan membawa kepada tindakan lanjut.
  • Kes saman bermula pada 2021 berhubung dua hantaran Facebook Rafidah yang didapati berunsur fitnah, manakala tuntutan balas Rafidah terhadap plaintif ditolak oleh mahkamah.


Pada 31 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan saman dikemukakan Datuk Haris Embong, 48, serta syarikatnya Arisprop Holdings Sdn Bhd dan memerintahkan Rafidah, 39, membayar ganti rugi itu.

Firma guaman yang mewakil Haris iaitu Izral Partnership dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah menghantar notis kepada peguam Rafidah di Shah Alam pada 20 Ogos 2024 bagi menuntut pembayaran seperti diperintahkan namun defendan atau wakilnya gagal menyelesaikannya.

Menurut firma itu, pihaknya sekali lagi menghantar notis pada 19 Sept lepas kepada firma guaman baharu di Gombak yang mewakili Rafidah bagi menuntut pembayaran berkenaan.

"Kami telah diarahkan sekali lagi oleh anak guam agar Rafidah membuat bayaran berjumlah RM281,200 dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat ini (19 Sept) dan sekiranya gagal, anak guam kami akan mengambil tindakan yang perlu," menurut kenyataan itu.

Firma guaman itu memaklumkan pihaknya diarah oleh anak guam untuk menuntut bayaran mengikut perintah Mahkamah Tinggi iaitu ganti rugi sebanyak RM100,000 yang perlu dibayar kepada Haris, ganti rugi RM150,000 yang perlu dibayar kepada Arisprop Holdings, kos RM30,000 dan yuran peruntukan sebanyak RM1,200.

Sementara itu, Haris berkata pihaknya telah memberi banyak masa kepada Rafidah untuk menyelesaikan tuntutan namun ia tidak berlaku hinggalah hari ini.

"Tuntutan ini adalah untuk membersihkan imej saya dan syarikat atas tuduhan fitnah yang dibuat. Semua orang mempunyai perjuangan menuntut hak dan keadilan. Begitu juga saya. Ini adalah perjuangan menuntut hak dan keadilan untuk saya dan syarikat serta menghormati keputusan Mahkamah Tinggi," menurutnya dalam kenyataan itu.

Saman Haris yang difailkan pada Oktober 2021 menyatakan bahawa Rafidah, yang juga pempengaruh media sosial, telah menerbitkan dua hantaran di Facebook pada 21 Sept 2021 dan 18 Okt 2021, mendakwa beliau enggan membayar hasil kerja selebriti itu.

Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee dalam keputusannya berkata mahkamah mendapati hantaran kedua yang diterbitkan Rafidah adalah fitnah kerana perkataan yang digunakan telah Haris kepada kebencian, cemuhan atau penghinaan.

Mahkamah juga menolak tuntutan balas yang dikemukakan Rafidah terhadap kedua-dua plaintif untuk menuntut antaranya wang sebanyak RM4,000 bagi gaji tertunggak bulan Ogos 2021 dan kos kemudahan sebanyak RM3,550 yang dipersetujui dalam kontrak pelantikan defendan.

-- BERNAMA





#saman fitnah #Rafidah Ibrahim #usahawan #pempengaruh media sosial #Haris Embong