KES saman fitnah Datuk Kenny Goh terhadap bekas pemain badminton nombor satu dunia, selesai selepas Muhammad Roslin Hashim memohon maaf kepada Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Ketika prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain, Muhammad Roslin, 48, berkata, dia dengan ikhlas hati memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Kenny, 57.

Menurutnya, ia berhubung kenyataan fitnah yang dibuat ketika siaran langsung menerusi akaun Facebooknya ‘Abe Lin’ pada 19 Januari tahun lalu.

Ketika membaca kenyataan maaf berkenaan, bekas pemain badminton negara itu mengaku kesal atas kenyataan yang ditimbulkan selain menyebabkan kesulitan kepada Kenny atau nama sebenarnya Goh Chee Keong.

Menurutnya, kenyataan itu telah mencalar reputasi dan nama baik Kenny, terutama kepada peminat sukan badminton tanah air.

“Saya juga sedar bahawa saya telah mengaibkan Datuk Kenny melalui kata-kata kesat yang tidak berasas dan tidak patut dinyatakan sama sekali.

“Saya beraku janji, tidak akan mengulangi kenyataan fitnah dan menyinggung tersebut, atau kata-kata kesat yang seumpama dengannya terhadap Kenny, pada masa hadapan,” katanya.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara berharap, permohonan maaf itu dapat membersihkan nama baik Kenny serta dapat memulihkan hubungan profesional termasuk hubungan peribadi mereka.

Semasa prosiding, peguam, Datuk Seri Jahabardeen Mohamed Yunoos yang mewakili Kenny berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes ini secara baik di luar mahkamah dengan terma-terma penyelesaian yang ditetapkan.

Menurutnya, antara terma penyelesaian itu ialah Muhammad Roslin selaku (defendan) membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Selain itu, kenyataan berkenaan perlu disiarkan di empat media arus perdana,” katanya.

Sementara itu, peguam, Haijan Omar yang mewakili jurulatih badminton ini mengesahkan perkara tersebut.

Roz Mawar kemudiannya merekodkan penghakiman persetujuan kes itu dan melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan pada 7, 11 dan 12 September ini.

“Saya juga mendoakan kejayaan kamu, semoga hubungan peribadi dan profesional kamu berdua dapat dipulihkan semua, selamat maju jaya,” kata hakim itu.

Sementara itu, Muhammad Roslin ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia lega kerana isu ini telah berakhir dan ia akan menjadikan pengajaran buatnya.

Menerusi pernyataan tuntutan, Kenny mendakwa Roslin mengungkapkan kenyataaan fitnah dan menyinggungnya dalam Facebook yang ditonton ratusan pengikutnya yang turut terdiri daripada pemberita dari pelbagai agensi berita.

Kenny selaku plaintif berkata, sebahagian kenyataan fitnah terhadapnya itu, telah dilaporkan, diterbitkan semula dan diedarkan kepada pengamal media media.

Beliau berkata, Roslin selaku defendan mengetahui kenyataan itu diterbitkan semula dan diedarkan serta merancang supaya (ia berlaku) tetapi dengan secara sedar tidak mengambi langkah untuk menahannya.

Seterusnya, Kenny berkata, kenyataan fitnah terbabit dalam maksud semula jadi atau secara inferen bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan sebagai Setiausaha Kehormat dan Pengerusi Jawatankuasa Jurulatih dan Latihan BAM dan perosak persatuan itu.

Beliau berkata, ia juga bermaksud beliau mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap segala transaksi yang berlaku di dalam BAM dan sewenang-wenangnya membuat keputusan mengikut citarasanya sendiri.

Disebabkan penerbitan kenyataan itu, beliau telah mengalami kerosakan reputasi dan nama baik selain terpaksa berdepan kebencian serta penghinaan daripada orang awam khususnya peminat badminton tempatan serta antarabangsa.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM1 juta termasuk ganti rugi pampasan, ganti rugi teladan dan ganti rugi tambahan serta perintah injunksi menghalang defendan daripada menerbitkan kenyataan serupa. -Sinar Harian