KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan 6,638 saman selain 11 tangkapan menerusi Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya fasa dua di ibu negara pada hari ke-12, pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, tindakan ini diambil hasil pelaksanaan 21 operasi pada hari terbabit.

Menurutnya, daripada keseluruhan saman yang dikeluarkan, kesalahan halangan lalu lintas adalah paling tinggi iaitu 5,446 kes selain kenderaan di laluan pejalan kaki atau garisan putih (209) dan langgar isyarat lampu merah (51).

"Selebihnya ialah tiada lesen memandu (95), nombor plat kotor atau fancy (30) serta lain-lain kesalahan (807).

"Seramai 11 telah ditahan antaranya kerana kes dadah dan memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya pada Rabu.

Beliau berkata, antara operasi yang dijalankan JSPT Kuala Lumpur ialah Op Motosikal, Op Perdagangan, Op Mabuk, Op Halangan, Op Didik serta Op Khas.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, operasi fasa kedua itu akan tertumpu membabitkan sebanyak 16 lokasi berbeza sekitar ibu negara sepanjang tempoh pelaksanaan tersebut bermula 15 hingga 29 September.

Untuk info, JSPT Kuala Lumpur telah mengeluarkan sebanyak 157,000 saman sepanjang tempoh pelaksanaan Operasi Fasa 1 bermula 1 Julai hingga 31 Julai lalu. - Sinar Harian