NATIONAL
Saman pemula peguam cabar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman didengar 16 Julai
Syed Amir yang memfailkan saman itu pada 8 April, memohon suatu pengisytiharan bahawa Akta SPK adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 16 Julai ini untuk mendengar saman pemula dikemukakan seorang peguam terhadap Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK), bagi mencabar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi akan mendengar saman pemula seorang peguam pada 16 Julai, yang mencabar Akta SPK 2009 dengan alasan ia melanggar Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
- Pemohon meminta pengisytiharan bahawa Akta SPK tidak sah, serta perintah mandamus untuk memastikan pelantikan kehakiman bebas daripada campur tangan Suruhanjaya.
- Kedua-dua pihak diminta memfailkan afidavit balasan pada 29 April dan hujahan bertulis sebelum 8 Julai, manakala Majlis Peguam dibenarkan menjadi pencelah dalam kes ini.
Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes hari ini, dengan dihadiri peguam Shahrulazwad Ismail yang mewakili Datuk Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim, selaku pemohon.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi serta Peguam Persekutuan Safiyyah Omar pula mewakili kerajaan dan SPK sebagai responden.
"Kedua-dua pihak perlu memfailkan afidavit balasan pada 29 April ini, manakala hujahan bertulis sebelum atau pada 8 Julai ini," kata Hakim Amarjeet.
Selain itu, mahkamah membenarkan Majlis Peguam untuk menjadi pencelah, manakala Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dibenarkan sebagai peguam pemerhati dalam kes itu.
Syed Amir yang memfailkan saman itu pada 8 April, memohon suatu pengisytiharan bahawa Akta SPK adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah kerana ia melanggar Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Turut dipohon suatu perintah mandamus yang memaksa Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia, mematuhi proses pelantikan kehakiman yang ditetapkan di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan dan bebas daripada sebarang campur tangan Suruhanjaya itu.
Perkara 122B memperuntukkan bahawa pelantikan hakim hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, bertindak atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Selain itu, beliau memohon suatu penangguhan sementara terhadap sebarang pelantikan kehakiman yang dibuat menurut Akta SPK 2009, sementara menunggu pelupusan permohonan itu serta perintah-perintah selanjutnya yang dianggap adil, wajar demi kepentingan keadilan.
-- BERNAMA
#saman pemula
#cabar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman
#Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman
#kerajaan malaysia
#peguam
#terkini