MALAYSIA
Saman RM24 juta: RichWorks ambil tindakan balas undang-undang
Azizan mengambil pendekatan untuk tidak melatah atau beremosi selepas didakwa berdepan tuntutan saman berjumlah lebih daripada RM24 juta bersama tiga individu lain termasuk isterinya. - Sinar Harian
SHAH ALAM: Richworks Academy Sdn Bhd memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan penyataan pembelaan terhadap satu writ saman berjumlah lebih RM24 juta yang telah difailkan di mahkamah pada Jumaat lalu.
Ringkasan AI
- Richworks Academy dan pengasasnya, Datuk Wira Dr Azizan Osman, memfailkan pembelaan terhadap saman lebih RM24 juta, serta mengemukakan tuntutan balas yang bernilai lebih besar daripada tuntutan asal.
- Tuntutan balas tersebut berasaskan surat tuntutan bertarikh 11 April 2025, yang dikemukakan sebelum saman diterima, dan pihak Richworks menegaskan komitmen mereka untuk menyelesaikan isu melalui saluran undang-undang.
- Operasi Richworks akan berjalan seperti biasa, dengan jaminan untuk terus memperkasa usahawan dan kekal fokus kepada prinsip keadilan, maruah, serta ketelusan walaupun berdepan cabaran perundangan.
Pengasasnya, Profesor Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata, pada masa yang sama pihaknya turut mengemukakan tuntutan balas terhadap plaintif melibatkan jumlah yang lebih besar daripada nilai tuntutan asal.
Menurutnya, tuntutan balas itu dibuat berasaskan surat tuntutan rasmi yang telah dihantar kepada plaintif lebih awal daripada tarikh saman dikemukakan oleh pihak terbabit.
“Kebenaran tidak memerlukan tergesa-gesa tetapi keteguhan dan bukti. Pada hari Jumaat, 13 Jun 2025, pihak kami telah memfailkan penyataan pembelaan terhadap tuntutan plaintif di mahkamah.
“Pada masa yang sama, kami membuat tuntutan balas terhadap plaintif. Tuntutan balas tersebut adalah untuk jumlah yang lebih besar daripada saman plaintif. Asas tuntutan balas kami ialah surat tuntutan terhadap plaintif bertarikh 11 April 2025 yang mendahului tarikh saman plaintif,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, satu writ saman telah difailkan terhadap Azizan, isterinya Datin Wira Hasdiana Ahmad dan Pengarah Eksekutif Richworks, Hasnita Ahmad yang kemudiannya disebarkan secara terbuka oleh individu terbabit kepada umum.
Tambah Azizan, tindakan undang-undang yang diambil mencerminkan komitmen pihaknya untuk mempertahankan hak, integriti dan kebenaran melalui saluran yang sah berdasarkan fakta dan bukti kukuh.
“Kami percaya bahawa pertikaian sebegini wajar diselesaikan secara profesional di mahkamah bukan melalui media sosial. Kami tidak akan terlibat dalam sebarang provokasi, fitnah atau drama yang boleh mengganggu perjalanan kes, sebaliknya kekal fokus kepada prinsip keadilan, ketelusan dan maruah.
“Kami juga ingin memberi jaminan kepada para pelanggan, rakan kongsi dan masyarakat umum bahawa operasi serta komitmen kami di Richworks Academy akan terus berjalan seperti biasa. Misi kami untuk memperkasa usahawan di seluruh negara tidak akan terhenti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azizan turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pihaknya.
Beliau menyatakan bahawa mereka akan terus melangkah ke hadapan dengan tenang, yakin dan percaya sepenuhnya kepada sistem keadilan negara.
“Doa dan keyakinan anda menjadi kekuatan utama kami dalam menghadapi cabaran ini,” katanya. -- Sinar Harian