MALAYSIA

Saman tertunggak tiada kaitan dengan kelayakan BUDI95 - Loke

Firdaus Azil 09/12/2025 | 10:31 MYT
Menteri Pengangkutan menegaskan saman tertunggak tidak menjejaskan kelayakan subsidi petrol BUDI95. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) menafikan dakwaan bahawa kegagalan menjelaskan saman trafik akan menyebabkan pemohon kehilangan kelayakan untuk menikmati subsidi petrol BUDI95.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pengangkutan menegaskan tiada kaitan antara saman trafik tertunggak dengan kelayakan subsidi petrol BUDI95.
  • Terdapat 4.95 juta saman JPJ belum dijelaskan bernilai RM1.48 bilion, dan hampir RM6.6 bilion saman polis masih tertunggak.
  • Pemandu perlu mematuhi undang-undang trafik, namun kegagalan menjelaskan saman tidak secara langsung menjejaskan kelayakan subsidi BUDI95.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Sie Fook berkata, kedua-dua mekanisme tersebut beroperasi secara berasingan dan tidak mempunyai kaitan langsung.

Beliau menjelaskan bahawa kelayakan subsidi BUDI95 ditentukan berdasarkan syarat asas tertentu, bukan status saman tertunggak.

“Saman tertunggak dan kelayakan subsidi petrol BUDI95 merupakan dua mekanisme berbeza. Kedua-duanya bukan perkara yang sama dan tidak mempunyai kaitan automatik,” katanya lagi.

Baru-baru ini portal berita The Star melaporkan, terdapat 4.95 juta saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang belum dijelaskan bernilai RM1.48 bilion, manakala hampir RM6.6 bilion saman polis masih tertunggak.

“Pemandu yang gagal menjelaskan saman bukan sahaja berdepan risiko dihalang daripada memperbaharui lesen memandu atau cukai jalan, malah boleh dikenakan tindakan mahkamah.

“Mereka juga mungkin kehilangan kelayakan BUDI95 kerana subsidi petrol tersebut dikaitkan dengan status lesen memandu,” menurut laporan itu lagi.

Dalam pada itu Anthony menjelaskan, antara syarat utama untuk memohon atau terus menikmati subsidi BUDI95 ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia yang disahkan melalui MyKad, serta memiliki lesen memandu yang aktif.

Lesen aktif merujuk kepada lesen yang masih sah atau yang tempoh luputnya tidak melebihi tiga tahun.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang trafik demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

“Walaupun saman tidak menjejaskan kelayakan subsidi, pematuhan undang-undang adalah tanggungjawab bersama,” katanya lagi.








Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah penjelasan Kementerian Pengangkutan (MOT) berkenaan dakwaan mengenai hubungan antara saman trafik yang tidak dijelaskan dengan kelayakan subsidi petrol BUDI95?
    A: Kementerian Pengangkutan menegaskan bahawa saman trafik yang tidak dijelaskan tidak mempengaruhi kelayakan subsidi petrol BUDI95 kerana kedua-duanya merupakan mekanisme berbeza dan tidak berkaitan langsung.
  • Q: Berapakah jumlah saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang belum dijelaskan yang dilaporkan oleh portal berita The Star?
    A: Terdapat 4.95 juta saman JPJ yang belum dijelaskan bernilai RM1.48 bilion, manakala hampir RM6.6 bilion saman polis masih tertunggak.
  • Q: Apakah syarat utama yang dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Sie Fook bagi pemohon yang ingin memohon atau terus menikmati subsidi BUDI95?
    A: Antara syarat utama adalah pemohon perlu merupakan warganegara Malaysia yang disahkan melalui MyKad dan memiliki lesen memandu yang aktif, yang bermaksud lesen tersebut masih sah atau tempoh luputnya tidak melebihi tiga tahun.



#Anthony Loke #BUDI95 #JPJ #saman