Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) akan mula mengepam air di Tasik Ayer Keroh bermula Isnin ini bagi memastikan Melaka tidak berlaku krisis air.

Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Ir Mohd Khalid Nasir berkata, air berkenaan akan dipam masuk ke sungai melaka bagi menampung keperluan penduduk negeri.

Setakat ini, SAMB bertindak mengepam dua kolam dari Kesang, Jasin sejak 14 Februari lalu rentetan keadaan cuaca panas dan tiada hujan yang melanda negeri sejak Januari.

Beliau berkata demikian semasa ditemui ketika melakukan lawatan di Empangan Durian Tunggal, Melaka pada Khamis.

Katanya, paras empangan berkenaan kini di tahap bacaan 69.8 peratus dan direkodkan penurunan berlaku diantara 0.3 hingga 0.5 peratus setiap hari.

Keadaan itu sekali gus menjelaskan melaka masih tidak mengalami krisis air rentetan pihak SAMB turut bertindak awal mengepam air dari Sungai Gerisek, Muar dengan menggunakan empat pam.

Bagaimanapun, sekiranya tiada hujan sehingga penghujung Mac, empangan berkenaan akan berada di paras bacaan 50 peratus iaitu di peringkat kritikal.

Beliau turut menasihati penduduk supaya menggunakan air secara berhemah dalam keadaan cuaca kemarau kini.

Sementara itu, pihaknya tidak akan melakukan catuan air sewenang-wenangnya rentetan keperluan terbabit harus mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan kerjasama kerajaan negeri.

Katanya, pihak berkenaan akan mengkaji terhadap tindakan berkenaan yang memerlukan pelaksanaan terancang sekiranya negeri benar-benar mengalami krisis air.

Sementara itu di Negeri Sembilan, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) mendedahkan punca sebenarnya krisis air yang berlaku khususnya di Seremban Barat seperti Sendayan.

Gangguan berkenaan sebenarnya sudah bermula sejak Disember tahun lalu apabila negeri kurang mendapat taburan hujan selain musim panas sejak Januari.

Bagaimanapun, SAINS telah menyediakan 11 lori tangki dan 35 tangki statik sebagai persediaan sekiranya ketiadaan air.

Namun, semalam lebih kurang 70 peratus daripada 3,000 isi rumah sudah menerima semula bekalan air.