MALAYSIA

Sambutan Deepavali Lembah Pantai semarakkan semangat harmoni, 1,100 keluarga terima sumbangan

Bernama 12/11/2025 | 23:10 MYT
Fahmi bersama Naib Ketua Wanita 1 PKR Lembah Pantai Printha Arumugen (kanan) membakar pelita sebagai gimik perasmian sempena Fiesta Cahaya Deepavali 2025 peringkat Lembah Pantai. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sambutan Fiesta Cahaya Deepavali di Parlimen Lembah Pantai di sini, berlangsung meriah dengan penyertaan komuniti yang diiringi semangat harmoni dan persefahaman.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sambutan kali ini juga istimewa, kerana buat pertama kalinya, lebih 1,100 keluarga menerima sumbangan berbentuk baucar untuk membeli barangan keperluan.

"Bagi saya, sambutan perayaan yang dilaksanakan secara aman dan harmoni, memberi peluang untuk mengeratkan silaturahim dan memperkukuhkan hubungan sesama kita.

"Keadaan seperti ini sukar ditemukan di tempat lain dan kita sangat diberkati hidup di Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis itu di IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini, malam tadi.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata kepelbagaian kaum dan budaya yang wujud di Malaysia khususnya kawasan Lembah Pantai, menjadi kekuatan kepada komuniti serta membolehkan pelbagai perayaan termasuk Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Krismas, disambut dalam satu suasana harmoni.

Selain hidangan tradisi masyarakat India, acara itu turut diserikan dengan persembahan tarian oleh kumpulan The Dream Catcher yang terdiri daripada belia-belia dari kawasan Lembah Pantai.

-- BERNAMA





#Fiesta Cahaya Deepavali #Fahmi Fadzil #sumbangan #harmoni