PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 tahun ini bakal menampilkan kelainan menerusi penampilan khas anggota serta aset ketenteraan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) pada perarakan di Dataran Putrajaya, 31 Ogos ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, JMF akan menyertai perbarisan berkenaan dengan kekuatan 100 anggota bersama aset sendiri.
Katanya, penyertaan itu antara beberapa kelainan yang diketengahkan pada sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
"Antara yang saya rasa mungkin berbeza pada tahun ini ialah kita juga mempunyai pasukan JMF dari Johor, Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
"Mereka akan mengambil bahagian dengan aset dan pasukan seramai 100 orang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik kepada Peserta Human Graphic sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, di sini, pada Isnin.
Menurut Fahmi, satu lagi kelainan tahun ini ialah aset ketenteraan dan keselamatan akan dipamerkan secara statik di beberapa lokasi, termasuk Dataran Floria, kawasan monumen dan Dataran Aman.
Katanya, kaedah itu membolehkan pengunjung melihat aset berkenaan dengan lebih dekat tanpa perlu menunggu di tepi jalan bagi menyaksikan perarakan.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, jumlah penaja bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini meningkat kepada 139 berbanding tahun lalu, dengan nilai sumbangan melonjak 118 peratus.
Menurutnya, sebahagian besar sumbangan berkenaan akan disalurkan kepada orang ramai, termasuk dalam bentuk makanan dan produk yang akan diagihkan seawal pagi 31 Ogos.
Beliau berkata, seramai 1,500 pelajar daripada 36 sekolah di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor turut mengambil bahagian dalam persiapan sambutan tahun ini.
"Buat pertama kali, 1,500 pelajar ini sudah berada di lapangan dan kita hanya ada kurang seminggu lagi sebelum sambutan," katanya.
Fahmi berkata, raptai penuh akan diadakan pada Jumaat dan Sabtu ini, iaitu 28 dan 29 Ogos, manakala Ahad, 30 Ogos ditetapkan sebagai hari rehat kepada semua peserta.
Beliau turut menggalakkan orang ramai hadir menyaksikan raptai pada Sabtu ini.
Katanya, persiapan keseluruhan sambutan kini sudah melebihi 70 peratus dan dijangka mencapai antara 80 hingga 90 peratus dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Antara yang masih dalam proses disiapkan ialah tempat duduk bertingkat serta Pentas Diraja.
Dalam pada itu, Fahmi berkata pihak penganjur turut menyediakan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan sekiranya berlaku jerebu pada hari sambutan.
Katanya, SOP itu akan dimuktamadkan bersama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum diumumkan kepada orang ramai.
Bagi memudahkan pergerakan pengunjung, beliau berkata perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) akan beroperasi 24 jam pada 30 dan 31 Ogos.
Perkhidmatan teksi air percuma juga akan disediakan buat tahun ketiga berturut-turut.
Lebih 80,000 pengunjung dijangka hadir ke Dataran Putrajaya bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.