KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan di peringkat keluarga dan komuniti di seluruh negara perlu dipertingkatkan sepanjang Bulan Kebangsaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menjelaskan ia termasuk sambutan di kawasan Parlimen, Dewan Undangan Negeri, kampung, sekolah dan komuniti.

Beliau juga berharap, sambutan kemerdekaan dapat dirakyatkan seterusnya menjadi amalan baharu seluruh masyarakat.

"Saya harap ini dapat menjadi satu amalan baharu kita dimana sambutan itu dirakyatkan, bukan hanya yang dijalankan di peringkat nasional pada pagi Hari Kebangsaan itu sendiri.

"Saya harapkan sambutan peringkat komuniti di seluruh negara diperhebatkan termasuk di kampung-kampung," katanya.

Beliau berkata demikian selepas rakaman Agenda AWANI Khas Merdeka Kuartet: Menyantuni Aspirasi Keluarga Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2022 pada Rabu.

Pada masa sama, beliau berharap lebih ramai yang akan mengibarkan Jalur Gemilang termasuk individu, komuniti, pihak korporat dan syarikat swasta bagi menunjukkan semangat Hari Kebangsaan.

Annuar berkata pada hematnya sambutan Hari Kebangsaan dalam kalangan masyarakat semakin meningkat dan kebanyakan mereka menunggu pada ambang 31 Ogos untuk mengibarkan Jalur Gemilang meskipun langkah itu boleh dilakukan sepanjang Bulan Kebangsaan.

"Itu tidak mengapa (menunggu kibarkan Jalur Gemilang), masing-masing boleh membuat pilihan, tetapi yang pentingnya kita ingin melihat sambutan itu di segenap pelosok negara dan dilakukan oleh semua masyarakat.

"Yang penting adalah makna kepada kemerdekaan. Selain daripada kita zahirkan melakui sambutan, sebenarnya banyak perkara lain boleh dilakukan seperti posting, ucapan kita sesama sendiri dalam Facebook, Twitter, TikTok dan sebagainya serta juga kandungan yang kita boleh wujudkan sendiri melalui pelbagai (platform) termasuk media sosial dan lain-lain," katanya.

Menurut Annuar, perkara yang penting dalam menyambut Hari Kebangsaan adalah menerusi penghayatan individu sendiri setelah negara berada pada Fasa Peralihan ke Endemik, selain berpeluang meraikan secara fizikal serta proses pemulihan yang sangat baik dilalui negara dari segi ekonomi dan peluang pekerjaan.