KUALA LUMPUR: Persiapan sambutan Hari Malaysia 2021 yang akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 16 September kini mencapai 85 peratus, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek.

Beliau berkata, penganjuran sambutan itu akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berdasarkan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19.

"Sambutan kali ini sama juga seperti sambutan Hari Kebangsaan lepas, tidak melibatkan penonton awam dengan kehadiran fizikal hanya melibatkan 63 orang termasuk Perdana Menteri dan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah," katanya ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan saluran TV1, RTM, hari ini.

Mohammad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2021 berkata kementerian mengambil maklum keadaan semasa peningkatan kes COVID-19 di Negeri Di Bawah Bayu dan langkah-langkah awal diambil bagi mencegah penularan.

"Semua individu yang terlibat secara fizikal pada sambutan itu perlu lengkap dua dos vaksin COVID-19 selain menjalani saringan calitan COVID-19 tiga hari sebelum raptai sambutan diadakan. Kerajaan negeri Sabah turut menyediakan kemudahan klinik bagi memudahkan ujian saringan calitan COVID-19 dijalankan," katanya.

Sementara itu, ketika menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini di TV3, Mohammad berkata tema Malaysia Prihatin masih dikekalkan pada tahun ini bersesuaian dengan perjuangan melawan pandemik COVID-19, selain menyemarakkan aspirasi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Seperti mana yang kita sedia maklum, jika kita dalam sebuah keluarga bahagia sudah tentu kita akan mempertingkatkan kerjasama, komitmen dan keprihatinan untuk sama-sama menjaga keluarga kita. Dengan komitmen yang tinggi ini, insya-Allah kita dapat menang melawan pandemik ini," katanya.

Selain itu, Mohammad berkata sejajar dengan saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, sambutan Hari Malaysia juga bakal disambut di negeri-negeri lain di Semenanjung dan tidak tertumpu kepada negeri penganjur sahaja.

Katanya pelbagai pertandingan dan program sambutan dianjurkan seperti pertandingan deklamasi sajak secara maya, Joget Malaysia TikTok serta pertandingan bercerita untuk kanak-kanak.

-- BERNAMA