[TERKINI] Ikuti pembentangan Bajet 2026 secara langsung – video tumpuan, undian anda serta analisis penuh di sini!
MALAYSIA

Sambutan Hari Malaysia perkukuh hubungan Malaysia–New Zealand melalui budaya

Astro Awani 10/10/2025 | 04:00 MYT
Sambutan Hari Malaysia ke-62 di New Zealand dengan penganjuran program kebudayaan “Gemalai & Tenunan: A Cultural Immersion”, yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala menerusi jalinan seni dan budaya.
WELLINGTON: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington meraikan Sambutan Hari Malaysia ke-62 di New Zealand dengan penganjuran program kebudayaan “Gemalai & Tenunan: A Cultural Immersion”, yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala menerusi jalinan seni dan budaya.

Acara yang diadakan di St James Theatre itu menjadi platform diplomasi budaya, menghimpunkan pegawai kerajaan, wakil diplomatik, sektor swasta, pelajar serta komuniti rakyat Malaysia yang menetap di New Zealand.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki berkata, sambutan Hari Malaysia bukan sekadar memperingati detik bersejarah penubuhan negara, tetapi juga kesempatan untuk menzahirkan semangat kepelbagaian dan perpaduan yang menjadi teras kekuatan Malaysia.

“Sambutan Hari Malaysia di New Zealand ini mengingatkan kita tentang persahabatan erat antara kedua-dua negara.

"Ia mencerminkan ikatan kukuh yang dibina atas nilai bersama, hubungan antara rakyat serta visi sepunya demi keamanan, kemakmuran dan saling menghormati,” katanya dalam satu kenyataan.

Mazita (dua dari kiri) beramah mesra dengan jemputan pada program kebudayaan “Gemalai & Tenunan: A Cultural Immersion”.


Turut hadir ialah wakil kerajaan New Zealand termasuk Duta Besar, Grahame Morton; Menteri Komuniti Etnik dan Sukan, Mark Mitchell serta Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah.

Majlis yang berlangsung pada 25 September lalu itu dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan berwarna-warni, merangkumi alunan muzik tradisional, tarian, silat, pameran seni kreatif dan sajian masakan Malaysia yang memikat selera tetamu.

Para pengunjung turut berpeluang menyelami gabungan tradisi dan kemodenan Malaysia melalui pameran serta ruang interaktif yang menampilkan keunikan identiti negara.

Sambutan tersebut turut menerima ucapan tahniah daripada wakil kerajaan serta diplomat antarabangsa yang mengiktiraf hubungan erat Malaysia–New Zealand dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, perdagangan dan pertukaran budaya.

Program berprestij itu sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan diaspora Malaysia di New Zealand, selain memperluas kefahaman silang budaya antara rakyat kedua-dua negara sahabat.

Para pengunjung turut berpeluang menyelami gabungan tradisi dan kemodenan Malaysia melalui pameran serta ruang interaktif yang menampilkan keunikan identiti negara.






#Malaysia-New Zealand #Hari Malaysia #Gemalai & Tenunan #A Cultural Immersion #Mazita Marzuki