MALAYSIA

Sambutan Hari OKU 2025: Merayakan keunikan, kekuatan dan peluang sama rata

Malekah Aisyah 04/12/2025 | 07:00 MYT
Nancy (tengah) bersama tetamu kehormat dan pemenang Anugerah Khas OKU di Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (HOKU) Peringkat Kebangsaan 2025, pada Rabu. - Foto KPWKM
PUTRAJAYA: Di sebalik setiap senyuman dan langkah warga orang kurang upaya (OKU), tersimpan kisah ketabahan yang mengingatkan kita bahawa kemajuan sebuah negara bermula dengan penerimaan dan peluang yang adil untuk semua.


Ringkasan AI
  • Di sebalik setiap senyuman dan langkah warga Orang Kurang Upaya (OKU), tersimpan kisah ketabahan yang mengingatkan kita bahawa kemajuan sebuah negara bermula dengan penerimaan dan peluang yang adil untuk semua.
  • Semangat itu seiring dengan tema tahun ini yang mengangkat Masyarakat Inklusif OKU, Kunci Kemajuan Sosial sekaligus mewarnai Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (HOKU) Peringkat Kebangsaan 2025 apabila masyarakat pelbagai latar berkumpul bagi meraikan keunikan, kekuatan dan sumbangan komuniti OKU.
  • Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kemajuan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui ekonomi atau infrastruktur, tetapi sejauh mana setiap individu dihormati, diterima dan diberi peluang saksama termasuk golongan OKU.


Semangat itu seiring dengan tema tahun ini yang mengangkat ‘Masyarakat Inklusif OKU, Kunci Kemajuan Sosial’ sekali gus mewarnai Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (HOKU) Peringkat Kebangsaan 2025 apabila masyarakat pelbagai latar berkumpul bagi meraikan keunikan, kekuatan dan sumbangan komuniti OKU.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kemajuan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui ekonomi atau infrastruktur, tetapi sejauh mana setiap individu dihormati, diterima dan diberi peluang saksama termasuk golongan OKU.

“Setiap warga OKU memiliki kisah mereka sendiri yang mampu memberi motivasi kepada kita semua.

“Kerajaan sentiasa komited memastikan setiap OKU mendapat peluang yang menyeluruh melalui pendidikan inklusif, pembangunan kemahiran, peluang pekerjaan, kemudahan awam yang mesra OKU, kehidupan komuniti yang menyokong serta perlindungan undang-undang yang jelas,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan 2025, di sini.

Beliau menekankan bahawa membangun masyarakat inklusif bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi harus digalas semua pihak bagi memastikan tiada golongan OKU ketinggalan.

“Stereotaip dan stigma masyarakat masih mengekang potensi ramai OKU untuk maju. Di luar bandar, jurang akses fizikal dan digital masih nyata.

“Kerajaan melalui KPWKM terus mengarusperdanakan agenda OKU melalui pelbagai pelan dan kerjasama strategik. Semakan Pelan Tindakan OKU Negara sedang diperkukuh agar ia selari dengan Akta OKU 2008 serta prinsip CRPD.

“Pembangunan Pangkalan Data Bersepadu OKU (MyOKU) pula memastikan pendaftaran, intervensi dan bantuan dilaksanakan dengan lebih tepat dan responsif. Usaha memperluas pendidikan inklusif, memperkasa program TVET OKU dan memantapkan kolaborasi dengan sektor swasta terus dipergiat.

“Dalam masa yang sama, akses kepada bangunan, laluan pejalan kaki dan pengangkutan awam sedang dipertingkat melalui kerjasama erat antara KPWKM, KKR, MOT, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi lain,” tambahnya.

Nancy berkata, membangun masyarakat inklusif bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi harus digalas semua pihak bagi memastikan tiada golongan OKU ketinggalan. - Foto KPWKM


Sambutan Hari OKU 2025 yang diadakan di pekarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya itu turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Khas OKU, termasuk kategori akademik, sukan, usahawan, Ibu Bapa Mithali OKU, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Cemerlang, Majikan Prihatin, Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (PSK) OKU Cemerlang, dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Prihatin.

Sambutan turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk Pameran Informasi dan Perkhidmatan, Pameran Inovasi/Teknologi Bantu dan Swasta, Segmen Kemahiran dan Latihan, Segmen TVET OKU, Segmen Seni Kreatif, Segmen Terapi Relaksasi, Pemeriksaan Kesihatan, Pameran dan Jualan Produk PDK, Segmen Perkongsian OKU, serta Live Podcast.

Sambutan HOKU Peringkat Kebangsaan 2025 menandakan peralihan penting Malaysia daripada pendekatan belas kasihan kepada pendekatan berasaskan hak asasi dan pemerkasaan.

Warga OKU tidak lagi dilihat sekadar sebagai golongan yang perlu dibantu, tetapi sebagai rakyat yang mampu menyumbang, berkarya dan memimpin apabila diberikan peluang serta sokongan sewajarnya.

Penerima Anugerah Khas OKU kategori Ibu Bapa Mithali, Abd Aziz Sehat, menyifatkan kemenangan itu sebagai simbol kebersamaan dalam komuniti OKU.

“Saya rasa kemenangan ini bukan kemenangan saya tetapi kemenangan komuniti OKU dalam negara. Kita perlu menyantuni dan tingkatkan kebersamaan kita dalam komuniti OKU itu penting bagi kita memberi ruang dan peluang kepada komuniti OKU. Itu yang paling penting.

“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan, kerajaan negeri, jabatan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan yang memberi sokongan kepada banyak komuniti OKU, terutama kepada kami dalam menempuhi kehidupan bermasyarakat. Tidak senang untuk ada anak OKU.

“Untuk mengurangkan stigma masyarakat di luar sana, kita perlu beri peluang pada OKU ini untuk menunjukkan potensi kepada masyarakat umum. Ia bersamaan menjalani kehidupan seharian bersama-sama masyarakat kita,” ujarnya.

Suasana meriah di majlis menunjukkan usaha rakyat memperkasa semangat kebersamaan dalam komuniti OKU. - Foto KPWKM


Turut hadir pada majlis ialah Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Maziah Che Yusoff, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Ahli Dewan Negara, Senator Isaiah D. Jacob serta pegawai-pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi lain.



#KPWKM #jkm #Hari OKU 2025 #inspirasi #inklusif