Sambutan Hari Tentera Darat ke-91 di Dataran Segamat Khamis ini

Bernama
Februari 23, 2024 20:20 MYT
Pelbagai program menarik dan bermanfaat akan dibawakan khas kepada masyarakat umum pada sambutan Hari Tentera Darat ke-91 yang dijadual berlangsung di Dataran Segamat selama dua hari bermula Khamis ini. - Foto Facebook TDM
JOHOR BAHRU: Rakyat dijemput memeriahkan sambutan Hari Tentera Darat (HTD) ke-91 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Segamat selama dua hari bermula Khamis ini (29 Feb).
Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi kenyataan memaklumkan pelbagai pengisian menarik akan ditampilkan pada sambutan bertemakan "Gagasan Tentera Darat dan Rakyat, Kekal Siaga" itu.
"Orang ramai dijemput hadir untuk merasai pengalaman baharu bersama TDM, serta menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air.
"Pelbagai program menarik dan bermanfaat akan dibawakan khas kepada masyarakat umum di Segamat," menurut TDM pada Jumaat.
Antara program tersebut ialah Pameran Kerjaya dan Aset TD, Karnival Jualan, Pemeriksaan Kesihatan Percuma, Persembahan Buskers, Program Bersama Veteran, Persembahan Tatu TD dan Pertunjukan Bunga Api.
Selain itu, pelbagai program keagamaan termasuk Forum Perdana, bacaan Yasin, tahlil dan khutbah solat Jumaat bakal diadakan di Masjid Bandar Segamat sempena sambutan itu.
-- BERNAMA
#hari tentera darat #Dataran Segamat #program keagamaan #Tentera Darat Malaysia