MALAYSIA

Sambutan Hari TVET Negara manifestasi tekad, komitmen kerajaan lahir tenaga kerja dinamik

Bernama 02/06/2025 | 08:20 MYT
Hari TVET Negara yang disambut pada 2 Jun setiap tahun menzahirkan komitmen kerajaan untuk menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional sebagai pilihan utama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya tahan. -FB
KUALA LUMPUR: Hari TVET Negara yang disambut pada 2 Jun setiap tahun adalah manifestasi tekad dan komitmen kerajaan untuk menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang dinamik, berkemahiran serta berdaya tahan.


Ringkasan AI
  • Hari TVET Negara yang disambut pada 2 Jun setiap tahun menzahirkan komitmen kerajaan untuk menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya tahan.
  • Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa TVET memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan negara, selari dengan kerangka Malaysia MADANI, termasuk peluasan akses kepada pelajar luar bandar dan penambahbaikan fasiliti latihan.
  • Sambutan Hari TVET Negara 2025 bertemakan *"TVET Pilihan Utama Kerjaya"* akan berlangsung dari 11 hingga 13 Jun di MITC Melaka, dan orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan acara tersebut.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sambutan itu memperlihatkan perkembangan positif ekosistem TVET negara sebagai pemacu pembangunan modal insan serta menjadi platform yang menawarkan peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang berkenaan daripada pelbagai pihak.

Menerusi hantaran di media sosial, Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara itu berkata usaha yang dilakukan adalah bertepatan dengan kerangka Malaysia MADANI yang meletakkan agenda bidang berkenaan sebagai antara keutamaan.



Beliau berkata ini termasuk peluasan akses Pendidikan TVET kepada pelajar luar bandar, penambahbaikan fasiliti latihan serta galakan kepada belia yang ingin membina kerjaya masa hadapan melalui kemahiran.

"Malah (dengan) sokongan padu pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan komuniti, TVET akan kekal sebagai teras utama dalam membina Malaysia yang lebih inklusif, progresif serta berdaya saing di peringkat global," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menjemput orang ramai memeriahkan Sambutan Hari TVET Negara 2025 yang akan berlangsung dari 11 hingga 13 Jun ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Tema sambutan pada tahun ini ialah 'TVET Pilihan Utama Kerjaya'.

-- BERNAMA



#Ahmad Zahid Hamidi #Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional #Hari TVET Negara #Belia