PUTRAJAYA: Jalan-jalan utama di sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan mula dipenuhi seawal jam empat pagi apabila orang ramai mula hadir bagi mendapatkan lokasi terbaik untuk menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 yang akan berlangsung pagi ini.
Kehadiran awal mereka mencerminkan keterujaan untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah sambutan kemerdekaan negara.
Walaupun perlu menunggu selama beberapa jam sebelum acara bermula, orang ramai tetap bersemangat dan mematuhi arahan pihak keselamatan.
Suasana yang meriah jelas memperlihatkan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang.
Kehadiran luar biasa sejak awal pagi membuktikan bahawa semangat cintakan negara terus subur dalam jiwa rakyat Malaysia.
Sambutan HKHM bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi lambang perpaduan, keharmonian dan rasa bangga terhadap tanah air yang tercinta.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dijadual berlangsung bermula jam 7 pagi di Dataran Putrajaya.
Sebanyak 15,000 petak parkir kenderaan awam disediakan di beberapa lokasi sekitar sini bagi memudahkan orang ramai menghadiri sambutan tersebut, menurut satu hantaran di Facebook Merdeka360.
Daripada jumlah itu sebanyak 3,500 petak parkir disediakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Presint 9 (3,000), masing-masing 2,500 petak parkir di Presint 1 dan Presint 18, Presint 8 (2,000) dan Terra@8, Presint 8 (1,500).
Selain kemudahan parkir, orang ramai turut mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik secara percuma, Transit Aliran Massa (MRT) dan Express Rail Link (ERL) untuk ke Putrajaya sempena sambutan berkenaan.
Bagi perkhidmatan bas ulang-alik percuma laluan MS01 dari MRT/Terminal Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2 beroperasi selama 24 jam tanpa henti bermula 2 petang semalam hingga 2 petang hari ini.