KUALA LUMPUR: Dalam hanya dua jam, lebih 9,000 tiket konsert “Yuvan 25” pada 16 Julai ini di Axiata Arena, Kuala Lumpur berjaya dijual.

Susulan sambutan luar biasa itu dan bagi tidak menghampakan peminatnya di Malaysia, komposer dan penyanyi terkenal dari India, Yuvan Shankar Raja akan sekali lagi menganjurkan konsert di lokasi sama pada 17 Julai 2022.

Konsert hari kedua itu bakal menampilkan elemen berbeza daripada hari pertama kerana ia berkonsepkan “Party Mode” dengan lebih ramai penari akan terlibat.

Menurut Yuvan, beliau terkejut namun dalam masa sama gembira dengan sambutan hangat itu dan tidak sabar beraksi di pentas untuk menghiburkan peminatnya.

“Malaysia sentiasa sangat dekat dengan saya sejak kecil lagi. Saya pernah datang ke sini untuk bercuti, jadi saya rasa Malaysi dan saya sangat dekat.

“Saya juga banyak menghasilkan lagu hits utama saya di sini. Saya sangat gembira membuat persembahan di sini, memulakan jelajah dunia saya dari Malaysia.

“Jadi saya sangat gembira untuk itu. Ini adalah 25 tahun perjalanan saya dalam muzik. Saya ingin berkongsi semuanya dengan peminat saya.

“Saya mahu mempersembahkan semua lagu hit utama saya kepada peminat saya dan itu sahaja. Ia akan menjadi malam muzikal,” katanya dalam sidang media ‘Yuvan 25th Live In Concert’ di sini pada Isnin.

Tambah Yuvan, beliau akan menyampaikan kira-kira 40 buah lagu, semuanya lagu popular beliau dalam konsert selama dua hari itu dengan konsert hari kedua dinamakan “Yuvan 25 - ROWDY BABY NIGHT”.

Dalam pada itu, wakil penganjur, Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, pihaknya bercadang untuk membawa beberapa nama besar lain dari India selepas melihat kejayaan konsert Yuvan.

“Kita lah yang membawa, membuat satu konsert pada 16 dan 17 Julai ini. InsyaAllah pada 17 Julai ini, kita akan berjaya jual semua tiket dan kita rancang konsert Yuvan di Johor Bahru.

“Kita juga telah berbincang dan konsert kedua kita adalah dengan A R Rahman pada bulan September dan November pula dengan Salman Khan Show Dabang,” ujarnya.

Tiket untuk konsert  “Yuvan 25 - ROWDY BABY NIGHT” boleh mula didapati bermula 8 Jun ini menerusi www.myticket.asia dengan harga tiket bermula daripada RM105 hingga RM2,500.