Sambutan ulang tahun DBP akan dibawa ke peringkat sekolah

Bernama
Jun 22, 2023 20:45 MYT
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-67 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan berbincang dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk membawa sambutan ulang tahun DBP ke peringkat sekolah mulai tahun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu bertujuan melonjakkan usaha memperkasakan bahasa di peringkat sekolah.
"Khidmat, bakti dan perjuangan DBP perlu diperkenalkan di peringkat sekolah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-67 DBP di Wisma DBP di sini pada Khamis.
Fadhlina berkata, satu lagi langkah yang akan diambil KPM untuk memperkasa bahasa ialah memperkenalkan beberapa buku tulisan sasterawan negara sebagai bacaan di sekolah.
"KPM akan bincang dengan DBP untuk pilih beberapa tajuk (karya sasterawan negara) untuk pembacaan anak-anak sekolah," katanya.
Ditanya sama ada Malaysia berhadapan dengan krisis pendidikan apabila 30,000 pelajar didapati tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia 2022, beliau berkata, KPM sentiasa melakukan intervensi untuk mengatasi pelbagai cabaran pendidikan.
Katanya, antara intervensi yang dilaksanakan termasuk mengatasi masalah keciciran, ketidakhadiran dan tidak menguasai pembacaan.
Beliau berkata, semua pihak perlu melihat kepada dua sekolah Malaysia yang disenarai pendek dalam kelompok 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023 (World's Best School Prizes 2023) baru-baru ini.
"Ini bermakna kita boleh berjaya dalam acuan sendiri," katanya.
Dua sekolah yang disenarai pendek ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai, Pulau Pinang, yang tersenarai dalam kategori Inovasi manakala SK Kanchong Darat, Selangor, tersenarai dalam kategori Gaya Hidup Sihat.
Pada majlis sama, Fadhlina melancarkan buku Gaya Dewan edisi keempat yang mengandungi pelbagai maklumat mengenai panduan penerbitan.
Turut dilancarkan ialah portal WadahDBP, sebuah majalah elektronik yang menerbitkan karya-karya penulis tempatan khususnya penulis baharu. - BERNAMA
#Fadhlina Sidek #sambutan ulang tahun DBP #Dewan Bahasa dan Pustaka #KPM