Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Selangor mempercepat projek mitigasi banjir dan mendalamkan Sungai Klang untuk mengurangkan risiko banjir secara menyeluruh.
- Kelulusan dana ratusan juta ringgit daripada Kerajaan Persekutuan membantu pembinaan dinding banjir dan mengurangkan beban kewangan negeri.
- Program Friends of Rivers (FOR) dan aplikasi mudah alih LUAS memperkasakan komuniti serta memudahkan pemantauan dan pelaporan aktiviti sungai.
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor giat mempercepat projek mitigasi banjir dan kerja-kerja mendalam dan melebarkan jujukan Sungai Klang bagi menangani risiko banjir di negeri berkenaan secara menyeluruh.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata usaha pembersihan melibatkan jujukan sepanjang 54 kilometer (km) itu berdepan cabaran akibat pengumpulan sisa pepejal dan lapisan sedimentasi tebal yang tidak pernah diselenggara secara komprehensif sejak dua dekad lepas.
“Kalau ikut perancangan asal, sebenarnya keseluruhan Sungai Klang (54 km) itu pada peringkat awal disasarkan siap dalam lima tahun. Namun selepas dilaksanakan, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan beberapa projek di beberapa bahagian sungai yang dilihat akan membantu projek sedia ada.
“Mengikut kiraan kita ada setahun setengah lagi, jadi mungkin kita boleh siapkan dalam tempoh itu atau dua tahun lagi bersama-sama dengan projek-projek yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan di hulu dan hilir Sungai Klang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Bengkel Friends of Rivers (FOR) Selangor 2026 yang turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Haslina Amer di Pusat Perdagangan Antarabangsa Selangor (SITC) di sini semalam.
Izham berkata walaupun kerja pengorekan kali terakhir dilaksanakan secara besar-besaran pada 2001, usaha itu mula menunjukkan impak positif apabila risiko banjir di kawasan sekitar berkurangan.
Menyentuh aspek kewangan, Izham yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, menjelaskan kelulusan dana mencecah ratusan juta ringgit daripada Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan dinding banjir telah membantu meringankan beban perbelanjaan pentadbiran negeri.
“Baki kos yang ditanggung kerajaan negeri kini dianggarkan RM200 juta lebih sahaja, manakala kedalaman takungan air sungai berjaya ditingkatkan daripada satu meter kepada empat meter.
“Inisiatif pemeliharaan sumber air ini turut diselaraskan dengan pemerkasaan peranan komuniti setempat melalui program FOR yang kini mendaftarkan 58 kumpulan aktif di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu bukan sahaja memupuk kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat, malah mereka menjadi mata dan telinga yang membantu agensi kerajaan memantau rizab sungai.
Izham berkata aplikasi mudah alih khas yang diperkenalkan oleh LUAS sejak 2022 juga memudahkan pelaporan data serta rekod aktiviti kesukarelawanan dalam bentuk digital, termasuk maklumat disalur secara terus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat diambil.
“Selain pemulihan fizikal, kerajaan negeri bertegas akan mengambil tindakan undang-undang termasuk pelucuthakan hak tanah ke atas pemilik premis swasta yang membiarkan kawasan mereka dijadikan tapak pembuangan sampah haram,” katanya.
Terdahulu, hampir 300 peserta menyertai FOR Selangor 2026 bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran komuniti mengenai peranan, tanggungjawab serta fungsi masyarakat dalam menjaga kelestarian sungai dan sumber air.
-- BERNAMA