MALAYSIA
'Sampai bila nak macam ini?' - Penduduk Matang Jaya gesa tindakan segera isu pencemaran debu
Ahmad Saidfuddin (dua, kanan) berkata, setiap hari mereka terpaksa berdepan dengan debu tebal yang berterbangan akibat aktiviti kuari. - Gambar/ Astro AWANI
SUNGAI BULOH: Penduduk Taman Matang Jaya hari ini tampil menyuarakan kebimbangan terhadap masalah pencemaran debu yang berpunca daripada sebuah kuari batu berhampiran kawasan perumahan mereka.
Keadaan itu yang didakwa berlarutan sejak lebih 20 tahun menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup komuniti setempat. Mereka mendakwa keadaan semakin meruncing, terutama bagi penduduk yang mempunyai anak kecil dan ahli keluarga yang menghidap asma.
Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Teres Setingkat (PPRTS) taman itu, Ahmad Saidfuddin Mohd Adam, mendakwa setiap hari mereka terpaksa berdepan dengan debu tebal yang berterbangan akibat aktiviti kuari.
Dakwanya, masalah lebih rumit termasuk letupan yang dijalankan secara berterusan di kawasan berhampiran.
“Sampai bila nak hidup macam ini? Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup, malah menimbulkan masalah kesihatan dalam kalangan penduduk.
“Demonstrasi hari ini mewakili penduduk Taman Matang Jaya yang paling hampir dengan kuari. Setiap hari ada letupan dibuat sehingga timbul masalah kesihatan," katanya.
Jelas Ahmad Saidfuddin lagi, kenderaan mereka juga sentiasa diselaputi debu, menyebabkan terpaksa dicuci sekurang-kurangnya sekali seminggu.
"Keadaan itu turut menjejaskan kebersihan kediaman apabila debu mudah masuk dan terkumpul di dalam rumah. Ada ibu bapa mengadu anak-anak yang pulang dari asrama terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan kerana terdedah kepada debu, khususnya mereka yang menghidap asma.
"Malah, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan kuari berkata pakaian mereka turut berbau minyak, dipercayai akibat aktiviti berkenaan," katanya.
Beliau mendakwa, pada Mei tahun lalu, letupan kuari mengakibatkan lebih 200 rumah terjejas dengan debu yang sangat teruk.
"Kami memaklumkan kepada pihak terlibat mengenainya dan sangka selepas dimaklumkan mengenai masalah berkenaan, operasi akan dikurangkan tetapi sebaliknya berlaku, malah lebih teruk," dakwanya.
Menurut Ahmad Saidfuddin, taman perumahan berkenaan dibangunkan sekitar 2005 dan ketika rumah dibeli, penduduk dimaklumkan operasi kuari hanya bersifat sementara.
"Kami tidak halang pembangunan, tetapi pengawalan operasi dan pemantauan debu gagal dilaksanakan dengan berkesan, bimbang pencemaran udara semakin terus.
"Sampai sekarang masih tiada tindakan, pihak penguat kuasa pula seolah-olah lepas tangan. Apabila isu lori dikatakan di bawah JPJ manakala operasi kuari di bawah jabatan lain pula," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya telah menghantar petisyen kepada pengusaha kuari serta agensi berkaitan, dan berharap isu itu diberi perhatian segera.
"Kami mahu tindakan proaktif segera bagi memastikan keselamatan dan kesihatan masyarakat setempat tidak terus terancam," dakwanya.
Beliau ditemui selepas Demonstrasi Aman Bantahan Pencemaran Habuk Kuari, pada Sabtu.
Ahmad Saidfuddin berkata, pihaknya hari ini berjaya menggabungkan tujuh taman di bawah Zon 20, termasuk Taman Impian Indah dan Taman Sri Putra, yang turut terkesan akibat pencemaran debu.
Astro AWANI sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak berkaitan mengenai isu ini.