HULU TERENGGANU: Penduduk di Kampung Nibong, Kuala Berang, di sini, dibelenggu rasa takut susulan kes samun bersenjata yang dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan.

Kebanyakan penduduk yang ditemui mendakwa mereka kini mengambil langkah berjaga-jaga kerana rasa tidak selamat dengan perkembangan itu.

Seorang warga emas, Zaid Zakaria, 69, berkata, rumahnya turut menjadi sasaran kumpulan penyamun setelah mengesan terdapat kesan umpil pada pintu dapur dan pagar rumah dibuka seseorang pada pagi Sabtu lalu.

"Malam itu saya tak dengar apa-apa bunyi pelik sehinggalah saya sedar pintu pagar rumah saya terbuka sekitar jam 5.45 pagi ketika mahu ke surau untuk solat subuh.

"Saya rasa pelik sebab biasanya ia ditutup rapat sehingga pagi.

"Waktu itu rasa tak sedap hati, balik sahaja dari surau saya memeriksa sekeliling rumah dan mendapati terdapat kesan terbuka (umpil) pada pengunci pintu dapur rumah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di sini pada petang Isnin.

Bagaimanapun, Zaid berkata, dia bersyukur kerana rumahnya masih selamat dan tidak berjaya dimasuki oleh perompak berkenaan.

"Pada malam kejadian, saya tinggal empat beranak termasuk isteri saya yang agak uzur kerana menghidap sakit hempedu. Mujurlah tiada apa yang hilang.

"Cuma saya terpaksa betulkan kembali pintu yang dah rosak (diumpil).

"Selepas kejadian itu, baru saya dapat tahu ada sebuah lagi rumah yang turut dimasuki penyamun pada hari yang sama namun kebetulan ketika itu rumah itu kosong kerana tiada orang tinggal.

"Salah seorang anggota keluarga itu sakit jadi mereka tidak duduk di situ," katanya.

Zaid bersama isterinya menceritakan kejadian rumah mereka cuba dimasuki pencuri ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Nibong, Kuala Berang di Hulu Terengganu.

Menurut Zaid, pengalaman rumahnya menjadi sasaran pencuri kali kedua dialami selepas lebih 15 tahun tinggal di situ.

"Rumah ini pernah dah kena masuk sekali tapi sudah lama. Kejadian berlaku masa kami mula-mula duduk di sini. Waktu itu anak-anak masih kecil.

"Habis semua tabung duit simpanan anak-anak dibuka dan semua duit dilarikan," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kedua tangan diikat dalam kejadian samun di rumah mereka di kampung sama pada awal pagi Ahad.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, rumah mereka dimasuki sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang sebelum melarikan wang tunai dan barangan kemas dianggarkan bernilai lebih RM40,000.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintenden Raja Saripah Robiah Raja Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

Sementara itu, Ketua Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Nibong, Hazidi Hasan, 43, berkata, seramai 30 hingga 40 anggota terlibat dalam aktiviti rondaan sekitar kampung yang dijalankan pada setiap malam di kampung tersebut.

"Sebelum berlaku kes ini rondaan sudah dilakukan setiap malam, namun ia melibatkan sekitar lima hingga 10 orang. Kali ini kita gandakan jumlah anggota supaya tahap keselamatan lebih terjamin.

"Bagaimanapun, bagi keluarga yang jumlah anggota keluarga sedikit kita tidak galakkan ketua keluarga untuk keluar rumah pada sebelah malam sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Seorang lagi penduduk, Suhaizan Yatim, 36, berkata, usaha mengadakan rondaan dapat membantu memulihkan kembali keyakinan penduduk terhadap tahap keselamatan di kampung berkenaan.

"Selepas beberapa rumah dipecah masuk lebih-lebih lagi ada kes diikat penyamun bersenjata, penduduk kampung ini berasa bimbang terhadap keselamatan keluarga masing-masing.

"Jadi dengan adanya usaha dari pihak SRS serta pemantauan pihak polis pada setiap malam amat melegakan penduduk yang kebanyakannya trauma dengan kejadian itu," ujarnya. -Sinar Harian