KUANTAN: Sebanyak 81 barang kemas pelbagai jenis seberat 2.5 kilogram bernilai RM1.74 juta dilarikan tiga lelaki bersenjatakan kapak dan kuku kambing dari sebuah kedai emas di pusat beli-belah Sky Avenue, Genting Highlands, semalam.
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11.39 pagi daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek memakai penutup muka, topi dan jaket ketika memasuki premis berkenaan sebelum mengambil lima bekas mengandungi 81 barang kemas itu.
“Kejadian dipercayai berlaku dalam tempoh kira-kira dua minit sebelum suspek melarikan diri kira-kira 11.41 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azry Akmar berkata ketika kejadian, dua pekerja masing-masing lelaki dan wanita berada di dalam premis manakala seorang lagi pekerja wanita keluar untuk berehat.
Beliau berkata tiada pelanggan di dalam premis ketika kejadian berlaku dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Tiada pengawal keselamatan ditugaskan di premis berkenaan. Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek dipercayai menggunakan sebuah kenderaan mewah jenis BMW yang didaftarkan atas nama seorang lelaki di Ampang, Selangor,” katanya.
Susulan kejadian itu, beliau berkata polis mengaktifkan Ops Tutup pada 12 tengah hari di sekitar Genting Highlands serta laluan menghala ke Batang Kali sebelum operasi itu ditamatkan pada 4.15 petang.
Azry Akmar berkata polis sedang giat menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan ketiga-tiga suspek berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Nurul Aqilah Azmi melalui talian 011-3175 9522 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA