Dua sahabat hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan merompak secara berkumpulan bersenjatakan parang di tiga lokasi pada 10 dan 11 Sept lepas.

Tertuduh pertama, Mohamad Zulfikar Nazriq Mohd Zahir, 21, mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan itu, tetapi tertuduh kedua Muhammad Asmuhairyl Abas, 19, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan serentak di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Priscilla Hemamalini menetapkan 11 Okt depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Zulfikar Nazriq dan sebutan semula kes serta proses penyerahan dokumen berkaitan terhadap Muhammad Asmuhairyl.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka berdua bersama seorang lagi yang masih bebas pada 10 Sept, kira-kira pukul 7.15 pagi di hadapan sebuah pasar raya di sini telah merompak sebuah telefon bimbit jenis iPhone 6 Plus milik seorang wanita.

Bagi pertuduhan kedua, pada kesokan hari, pada pukul 7 pagi, mereka berdua bersama seorang lagi yang masih bebas telah melakukan rompakan bertempat di sebuah kedai dobi layan diri di Puteri Jaya di sini terhadap seorang wanita iaitu dengan merompak seutas gelang emas, dua bentuk cincin emas, seutas rantai emas leher, kunci kereta, kad pengenalan, kad ATM, kad kredit dan pengecas bateri mudah alih.

Pertuduhan ketiga pula, kira-kira 15 minit selepas itu mereka didakwa melakukan rompakan bersenjatakan parang itu di sebuah kedai runcit 24 jam di Jalan Kelab Cinta Sayang di sini dengan merompak wang tunai milik kedai berkenaan sebanyak RM1,500, dua telefon bimbit dan pengecas telefon mudah alih milik seorang lelaki.

Kesemua pertuduhan ke atas kedua-dua mereka adalah mengikut Seksyen 35 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Savinder Singh Jugindar Singh manakala tertuduh kedua diwakili peguam. G. Shanmugam.

Tertuduh pertama bagaimanapun tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA