IPOH: Polis berjaya memberkas enam lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian samun bahan logam mampat bernilai RM180,000 di sebuah kilang elektronik di Jalan Lapangan Terbang dekat sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata, suspek ditahan di beberapa lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini, Pulau Pinang dan Selangor, pada Khamis dan Jumaat. 

Kesemua suspek berusia antara 27 dan 47 tahun, termasuk seorang pengawal keselamatan kilang berkenaan berusia 40 tahun, yang dipercayai merupakan dalang kejadian. 

Polis turut berjaya menemukan semula semua besi mampat yang dilarikan, serta kenderaan, pakaian dan telefon bimbit yang digunakan suspek ketika kejadian, di rumah pengawal tersebut di Bercham. 

Yahaya berkata, tangkapan dibuat susulan maklumat diterima pihaknya berhubung kejadian samun berkumpulan di sebuah kilang elektronik di sini pada jam 9.15 malam 14 September lalu.

“Semasa kejadian, sekumpulan lelaki pecah masuk ke dalam kawasan kilang dan mengikat pengawal keselamatan lalu melarikan sejumlah bahan logam mampat bernilai lebih kurang RM180,000, dengan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Hasil siasatan mendapati, seorang pengawal keselamatan di kilang berkenaan yang dipercayai dalang telah membuka pintu pagar kilang dan membenarkan lima rakan penjenayahnya masuk ke stor kilang. Dalam kejadian itu, seorang pengawal keselamatan warga asing lain telah diikat. 

“Selepas kejadian dilaporkan, Polis Ipoh melancarkan Op Kargo Carsem dengan mengumpulkan maklumat dan risikan sehingga tertangkapnya enam lelaki warga tempatan yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, hasil semakan mendapati lima daripada enam suspek memiliki pelbagai rekod jenayah lampau, manakala seorang suspek berusia 47 tahun didapati positif dadah jenis morfin. 

Katanya, selain pengawal keselamatan, empat suspek lain didapati bekerja sebagai peniaga, buruh kontrak, nelayan dan kelindan lori, sementara seorang lagi tidak bekerja. 

Tambahnya, kesemua suspek direman selama lima hari sehingga 26 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan bersenjata.

“Dengan tertangkapnya kesemua suspek terlibat dan rampasan barang-barang kes, maka kes ini dianggap selesai.

"Kini, pihak siasatan sedang melengkapkan siasatan dan akan merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk cadangan pertuduhan.

“Dalam perkara ini, pihak polis ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya kesemua suspek,” kata Yahaya lagi.