KUALA LUMPUR: Seramai 12 anggota polis yang sedang disiasat berhubung kes kecurian mata wang kripto milik seorang warganegara China kini direhatkan daripada tugas aktif.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya sedang melengkapkan siasatan, termasuk merakam percakapan individu berkaitan, sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.
Advertisement
"Buat sementara ini kita tidak beri mereka tugas-tugas aktiflah. Berada di pejabat bagi memastikan bahawa siasatan kita dapat dijalankan dengan baik dan sempurna," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui selepas Majlis Sumbangan Yayasan Seri Negara dan Penyerahan Zakat Wakalah PBLT Sdn Bhd yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini.
Mohd Khalid menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang.
"Tindakan ini tidak akan berakhir di sini, dan kita akan memastikan bahawa jika berlaku pelanggaran undang-undang dan kesalahan, kita akan ambil tindakan dan kita buka kertas siasatan dan buat pertuduhan sepertimana yang sepatutnya," katanya lagi.
Pada Jumaat, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan penahanan 12 anggota polis berhubung satu kes samun melibatkan kerugian mata wang kripto milik seorang warga asing yang dilaporkan berlaku di daerah Kajang awal bulan ini.
-- BERNAMA