Perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kedatangan Ramadan memberi limpahan rezeki berlipat kali ganda buat pengusaha ketupat palas dari Kampung Wakaf Beruas, Kuala Terengganu.

Norhasimah Abd Ghani berkata jika sebelum ini mereka hanya menghasilkan kira-kira 800 hingga 1,000 biji ketupat sehari, namun kini tempahan meningkat sekali ganda.

Katanya kehadiran Ramadan turut menyumbang kepada permintaan tinggi ketupat, namun apa yang lebih menggembirakan permintaan pada tahun ini mengatasi tahun sebelumnya.

"Sebelum ini pengeluaran kita hari-hari kecuali Jumaat stabil pada 800 hingga 1,000. Sekarang ini, sejak PKP ini meningkat 1,000 lebih hingga 2,000.

"Memang peningkatan yang tinggi musim ini sempena sambutan Aidilfitri dan bulan ramadan ini memang makin tinggi permintaan," kata Norhasimah.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui pada awal PKP dia bimbang permintaan ketupat akan merosot sepertimana perniagaan makanan lain.

Bagaimanapun, sangkaannya meleset selepas tempahan yang diterima semakin meningkat dan ia seolah-olah dijadikan makanan harian kerana orang ramai terpaksa duduk di rumah.

Katanya, untuk tempahan perayaan Aidilfitri juga telah ditutup seminggu yang lalu kerana bimbang tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan.

"Sangkaan saya, Hari Raya orang tak boleh keluar rumah. Mulanya kita ambil pesanan, tapi lama-lama saya nampak macam meningkat.

"Bila saya rasa macam tidak sempat nak siapkan tempahan, saya tutup dulu pesanan," kata Norhasimah yang mengusahakan perusahaan itu bersama suaminya Mohd Faizol Enet Ghani kira-kira lima tahun lalu dengan modal RM300.

Menurut Mohd Faizol, mereka mula menghantar bekalan ketupat ke warung-warung serta membuka sebuah gerai di tepi jalan.

Jelasnya, sepanjang tempoh PKP ini, mereka menyedari ramai yang kehilangan sumber pendapatan dan pasangan suami isteri ini terdetik berkongsi rezeki yang diperoleh mereka.

"Pada awal PKP, saya nampak ramai usahawan yang hentikan perniagaan atas banyak faktor. Dari segi itu, saya rasa kasihan dengan usahawan.

"Disebabkan rezeki saya pun bertambah, jadi saya terfikir untuk berkongsi rezeki ini dengan orang lain, lebih-lebih lagi dalam musim Ramadan ini kita boleh amalkan sikap berkongsi rezeki sambil bersedekah," kata Mohd Faizol.

Ketupat palas yang dihasilkan pasangan ini menerusi syarikatnya Hulwah Frozen Food turut pernah menembusi pasaran luar negara seperti Singapura dan Arab Saudi.

Untuk Ramadan kali ini, mereka hanya mengeluarkan ketupat palas biasa, ketupat palas sambal ikan dan daging.