ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan bahawa kapsyen bertulis 'Dok Pahang' yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya beberapa hari lepas membabitkan saranan berkahwin pada bulan Syawal membawa maksud tidak faham.

Menurut beliau, kapsyen berkenaan adalah loghat Terengganu yang merupakan negeri kelahiran isteri beliau, dan bukannya memiliki seorang lagi isteri yang tinggal di negeri Pahang.

Tambahnya secara berseloroh, beliau juga tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk berkahwin pada bulan Syawal berdasarkan saranan daripada hadis yang dihuraikan oleh Imam Nawawi.

"Kan sudah jadi polemik (pasal kahwin itu), tengok dua patah perkataan sahaja (saya tulis), 'dok pahang' sebenarnya 'dok pahang' itu (maksudnya) tidak faham, pasal (huraian hadis) itu (dalam) bahasa Arab, (jadi saya) 'dok pahang',

"Saya (juga) balik kampung (isteri) yang (merupakan) orang Terengganu, 'dok pahang' (saya tulis kapsyen), depa (mereka) kata duduk (tinggal) di Pahang, bila (masa) saya pi (pergi) Pahang, saya tidak pergi Pahang pun (dalam tempoh sebelum-sebelum ini)."

Sanusi berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, Alor Setar pada Khamis.

Pada Selasa, beliau menafikan dakwaan beliau berkahwin lain seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Dalam masa sama, Sanusi menjelaskan belum berhasrat berbuat demikian, namun tidak menolak kemungkinan sekiranya bertemu jodoh dengan mana-mana wanita.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai dakwaan Muhammad Sanusi sudah berkahwin lain.

Muhammad Sanusi turut memuat naik status di Facebook beliau beberapa hari lalu mengenai saranan berkahwin pada bulan Syawal dengan kapsyen bertulis 'Dok Pahang'.

Status itu mendapat ribuan reaksi serta komen pengikutnya di media sosial itu.