MALAYSIA

SARA: MoF beri jaminan penambahbaikan sistem tampung lonjakan

Bernama 02/09/2025 | 10:30 MYT
Ketua Setiausaha Perbendaraan Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood Merican pada sesi Taklimat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada Pengamal Media di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MoF) memberi jaminan penambahbaikan harian akan terus dilakukan bagi memastikan sistem pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mampu menampung peningkatan jumlah pengguna terutama pada cuti hujung minggu panjang dan menjelang sambutan Hari Malaysia.


Ringkasan AI
  • Kementerian Kewangan memberi jaminan penambahbaikan harian dilakukan untuk memastikan sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA) stabil, dengan kapasiti MyKasih ditingkatkan daripada 5,000 kepada 15,000 transaksi seminit.
  • Pada 31 Ogos, 895,000 transaksi berjaya diproses dan meningkat kepada 950,000 pada hari berikutnya; gangguan sebelum ini berpunca daripada lonjakan mendadak, bukan masalah MyKad, terminal atau capaian telco.
  • Jumlah penerima SARA berkembang daripada 700,000 pada Januari kepada 22 juta kini; MoF akan terus menambah baik sistem dan menasihatkan penerima tidak tergesa-gesa kerana kredit RM100 sah hingga 31 Disember.


Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata MyKasih telah melaksanakan langkah menambah baik kapasiti sistem serta proses mengesan kerosakan setiap hari untuk mengatasi isu teknikal yang timbul.

"Setiap hari (MyKasih) meningkatkan prestasi sistem dan menyelesaikan masalah yang berbangkit bagi memastikan ia dapat menampung peningkatan bilangan penerima yang membuat pembelian di pasar raya," katanya dalam taklimat media berhubung SARA di sini hari ini.

Johan berkata apabila sistem MyKasih mula dipasang, kapasiti asas ditetapkan pada 5,000 transaksi seminit dan kini telah ditingkatkan hingga 15,000 transaksi seminit yang diyakini dapat menampung lonjakan pembelian.

"Setiap hari kami menyusun semula sistem dan meningkatkan kapasiti bagi memastikan jumlah transaksi yang tinggi dapat diuruskan. Sistem tidak tergendala, ia sentiasa berfungsi.

"Namun, apabila berlaku peningkatan mendadak, keupayaan pemprosesan menurun dan sebahagian transaksi mengambil masa lebih lama atau gagal disempurnakan," katanya.

Beliau berkata pada hari pertama SARA bermula iaitu 31 Ogos lepas, sebanyak 895,000 transaksi berjaya diproses manakala pada hari kedua iaitu semalam, jumlah itu meningkat kepada 950,000 transaksi.

"Ini membuktikan sistem masih kukuh walaupun terdapat gangguan di beberapa terminal dan kedai," katanya.

Johan berkata MoF akan terus menambah baik keadaan serta kekal terbuka kepada pelbagai pilihan bagi memastikan sistem benar-benar stabil dan siap siaga terhadap permintaan memuncak pada minggu-minggu akan datang.

Selain itu, beliau berkata beberapa pasar raya turut mencadangkan langkah tambahan antaranya mengehadkan bilangan terminal aktif bagi mengurangkan jumlah transaksi serentak yang masuk ke sistem ketika lonjakan mendadak berlaku.

Johan mengulangi penerima SARA berdepan masalah barisan panjang dan kegagalan transaksi disebabkan olah kapasiti sistem MyKasih yang tidak dapat menampung lonjakan permintaan mendadak dua hari lepas.

Beliau berkata tiada isu pengimbasan MyKad atau terminal dan scanner atau di peringkat pasar raya atau kedai memandangkan semua petugas terlatih menggunakan sistem, malah tiada isu dengan hubungan telekomunikasi atau capaian telco.

"Isunya di peringkat sistem dan server MyKasih dari segi kapasiti transaksi yang dapat diproses," katanya.

Ditanya pelaksanaan bantuan lain selepas SARA, Johan berkata kerajaan akan lebih teliti untuk memastikan apa jua pelaksanaan bakal diperkenalkan dapat menampung keperluan dan memberi ruang yang mencukupi untuk menampung keperluan transaksi.

Johan turut menasihatkan orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menebus bantuan memandangkan kredit RM100 sah hingga 31 Dis ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi, Tanggungjawab Sosial Korporat DIALOG (MyKasih) Jeffrey Gerard Perera berkata Yayasan MyKasih merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang telah lama berperanan membantu dalam penyaluran bantuan kepada keluarga memerlukan bersama institusi zakat dan kerajaan negeri.

Dari segi model perniagaan, beliau berkata Yayasan MyKasih membangunkan sistem pembayaran tanpa tunai berasaskan MyKad yang mula beroperasi pada 2009 dengan kerjasama kerajaan termasuk Bank Negara Malaysia, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Beliau berkata objektif pada masa itu ialah untuk membangunkan sistem kewangan tanpa tunai menggunakan MyKad sebagai instrumen utama memandangkan semua rakyat Malaysia memilikinya dan dianggap selamat.

Sejak dilaksanakan, penerima program MyKasih berkembang pesat dengan 700,000 penerima SARA pada Januari lepas dan meningkat kepada 5.4 juta penerima pada April 2025 sebelum diperluas kepada 22 juta penerima baru-baru ini.

-- BERNAMA



#Sumbangan Asas Rahmah #sara #Kementerian Kewangan #Johan Mahmood Merican #mykasih #terkini