MALAYSIA
SARA permudah belanja guna MyKad, penerima harap akses diperluas
Penggunaan sistem MyKad untuk pembelian barangan di bawah SARA disifatkan sebagai mekanisme yang efisien kerana penerima tidak perlu lagi berdepan kerenah atau soal jawab yang panjang ketika membuat pembayaran. - Gambar hiasan
MELAKA: Penggunaan MyKad serta peluasan jenis barangan yang ditambah baik sejak pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada April lepas dilihat sebagai pendekatan terbaik dalam meningkatkan kuasa beli penerima bantuan.
Ringkasan AI
- Penggunaan MyKad dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) memudahkan pembelian barangan asas tanpa perlu telefon bimbit atau data internet, sekali gus meningkatkan kuasa beli rakyat.
- Penerima bantuan berharap lebih banyak kedai runcit luar bandar menyertai sistem ini dan senarai barangan asas diperluas, termasuk produk keperluan rumah dan peribadi.
- Di bawah Kerajaan MADANI, kadar bantuan SARA dinaikkan kepada RM2,100 setahun dan RM200 sebulan bermula April, memberi manfaat kepada 5.4 juta penerima yang dikategorikan sebagai miskin atau miskin tegar.
Penggunaan sistem MyKad untuk pembelian barangan di bawah SARA disifatkan sebagai mekanisme yang efisien kerana penerima tidak perlu lagi berdepan kerenah atau soal jawab yang panjang ketika membuat pembayaran.
Bagi suri rumah Natasha Irma Ishak, 30, yang menjual donut dari rumah dengan pendapatan tidak menentu, penggunaan MyKad sangat memudahkan urusannya.
"Sistem ini semakin baik dan sangat memudahkan. Paling saya suka, kita tak perlu risau jika tertinggal telefon bimbit atau tiada data internet ketika berbelanja kerana MyKad memang sentiasa dibawa ke mana-mana," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun beliau berharap lebih banyak kedai runcit dan pasar mini, terutama di kawasan luar bandar, akan menyertai sistem ini bagi memastikan manfaat SARA dapat dinikmati secara menyeluruh.
Sementara itu, M. Saraswathy, 40, yang bekerja sebagai tukang cuci, turut berpuas hati dengan kaedah penggunaan MyKad, dan setakat ini, semua pasar raya atau kedai runcit yang dikunjunginya tiada masalah menggunakan sistem tersebut.
"Bagi senarai barangan asas yang dibenarkan dalam program SARA ini, saya harap ia dapat diperluas, terutama produk keperluan rumah dan peribadi.
"Inisiatif pasar raya yang menyediakan rak dan tanda khas SARA juga sangat membantu kami ketika membeli-belah.
"Paling utama, bantuan ini sangat meringankan beban terutama ketika menunggu hari gaji, kerana saya boleh merancang bajet belian bulanan. Saya juga suka kerana baki bantuan boleh dibawa ke bulan seterusnya," katanya.
Program SARA merupakan sumbangan tambahan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah yang dikategorikan sebagai miskin atau miskin tegar di bawah eKasih.
Inisiatif ini adalah antara usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan rentan, selari dengan prinsip kesaksamaan yang menjadi teras Ekonomi MADANI.
Di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, kadar bantuan tahunan SARA tahun ini telah dinaikkan kepada RM2,100 bagi isi rumah layak yang berdaftar dalam sistem eKasih, berbanding RM1,200, tahun lepas.
Bermula 1 April lepas, kadar bantuan SARA telah dinaikkan kepada RM200 sebulan, memberi manfaat kepada 5.4 juta penerima.
-- BERNAMA