MALAYSIA

SARA untuk Semua disalurkan hari ini, kategori barangan diperluas

Harits Asyraf Hasnan 09/02/2026 | 01:40 MYT
Mulai hari ini, kerajaan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk Semua, melibatkan peruntukan RM2.2 bilion kepada lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Mulai hari ini, kerajaan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk Semua, melibatkan peruntukan RM2.2 bilion kepada lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, MoF memaklumkan, setiap penerima layak menerima kredit sekali bayar (one-off) RM100, yang boleh digunakan sehingga 31 Dis 2026.

Menurut kementerian itu, isi rumah turut berpeluang menerima bantuan berganda sekiranya mempunyai lebih daripada seorang ahli dewasa yang layak.

Sebagai contoh, sebuah keluarga terdiri daripada pasangan suami isteri serta dua anak berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM400 secara keseluruhan, tidak termasuk SARA Bulanan bagi mereka yang memenuhi syarat.

Kerajaan juga meluaskan kategori barangan yang dibenarkan di bawah SARA dengan memasukkan makanan sejuk beku (frozen food) menjadikan keseluruhan 15 kategori barangan asas boleh dibeli menggunakan kredit tersebut.

Penambahan itu turut meningkatkan jumlah barangan layak dibeli kepada 140,000 jenis, susulan maklum balas rakyat yang diterima sebelum ini.

Pengumuman itu turut dinyatakan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.

"Diharap ini dapat dibelanjakan sebaiknya bersempena menyambut Tahun Baharu Cina dan umat Islam mula menjalani ibadat berpuasa di bulan Ramadan," kata beliau semasa berucap pada Perjumpaan Bersama-sama Warga Kementerian Perpaduan Negara Bersempena Perhimpunan Bulanan KPN Februari 2026, di Putrajaya.

Selaras Perutusan Tahun Baharu 2026, MoF menyasarkan 10,000 kedai runcit kecil menjadi Rakan Niaga SARA menjelang hujung tahun ini, selain mengurangkan jarak kedai runcit terdekat daripada 10 kilometer kepada 7 kilometer bagi meningkatkan capaian pengguna.

Orang ramai boleh menyemak status pengkreditan serta soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi SARA di https://sara.gov.my.

MoF turut mengingatkan penerima supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kementerian menegaskan bahawa ia tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp, dan menasihatkan pengguna merujuk hanya kepada portal rasmi STR untuk maklumat berkaitan.


#sara #bantuan SARA #Sumbangan Asas Rahmah #SARA Bulanan