Saran Fomema diletakkan bawah Perkeso - Kula Segaran

Bernama
November 22, 2018 10:32 MYT
KULA SEGARAN: Susulan langkah kerajaan yang memperkenalkan caruman perlindungan keselamatan sosial untuk pekerja asing di bawah Perkeso mulai 1 Jan depan, Fomema mampu memainkan peranannya sebagai pengantara pihak majikan dan pekerja asing. - BERNAMA
Kementerian Sumber Manusia menyarankan agar Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) diletakkan dibawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) supaya ia memudahkan pengurusan perubatan pekerja asing.
Menterinya, M. Kula Segaran berkata, susulan langkah kerajaan yang memperkenalkan caruman perlindungan keselamatan sosial untuk pekerja asing di bawah Perkeso mulai 1 Jan depan, Fomema mampu memainkan peranannya sebagai pengantara pihak majikan dan pekerja asing.
"Kami berharap Fomema menyerahkan kepada Perkeso untuk mengendalikan perkara ini, biar mereka tentukan bahagian perubatan mana yang diliputi dan mendapatkan segala maklumat mengenai pekerja asing," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Hari Bertemu Pelanggan dan Sambutan Hari Deepavali Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di sini, hari ini.
Pada masa sama, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan mengenai perkara berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata peratusan caruman perlindungan keselamatan sosial bagi pekerja asing adalah sama kadarnya dengan pekerja tempatan dan ia tidak memberi kesan terhadap pekerja tempatan.
"Bagi pekerja warganegara ia tidak ada kena-mengena dengan mereka, sebaliknya ia (pengurusan) akan menjadi lebih efisien.
"Caruman adalah mengikut kadar caruman yang sama iaitu 1.25 peratus, apabila caruman kepada Perkeso dibuat, pampasan pekerja asing yang sedia ada akan dibatalkan dan diganti kepada caruman Perkeso," katanya.
Semalam, Kabinet memutuskan untuk meletakkan perlindungan keselamatan sosial pekerja asing PERKESO mulai 1 Januari depan dan majikan yang menggaji pekerja asing dengan dokumen sah termasuk ekspatriat mesti mendaftarkan pekerja mereka dengan PERKESO serta menyumbang kepada Skim Bencana Pekerjaan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). -- Bernama
#fomema #Kementerian Sumber Manusia #M Kulasegaran #perkeso