Sarawak akan pastikan masyarakat Melayu kekal miliki tanah mereka di pusat bandar

Bernama
April 7, 2017 11:49 MYT
ABANG JOHARI: Saya mahu membantu masyarakat ini supaya perkara seumpama itu tidak berlaku lagi.
Kerajaan Negeri Sarawak akan berusaha memastikan tanah milik masyarakat Melayu di pusat-pusat bandar di negeri ini akan kekal dalam pemilikan mereka dan waris mereka.
Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata tanah itu kini kebanyakannya sudah bertukar tangan yang menyebabkan masyarakat itu kehilangan tanah bernilai tinggi dan peluang pelaburan.
"Saya mahu membantu masyarakat ini supaya perkara seumpama itu tidak berlaku lagi. Sementara masyarakat Bumiputera lain seperti Iban, Bidayuh mempunyai Tanah Adat (NCR), masyarakat Melayu hanya mempunyai tanah di kawasan bandar dan subbandar," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan upacara pecah tanah projek pembangunan Hikmah Exchange, iaitu bangunan komersial setinggi 22 tingkat dilengkapi ruang pejabat dan pusat konvensyen di Jalan Haji Taha di sini, hari ini.
Projek membabitkan kos lebih RM300 juta di tapak seluas 1.47 hektar itu milik Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak (YHBS).
Ia akan dibangunkan oleh Permodalan Satok Berhad dengan kerjasama Majlis Agama Islam Sarawak, Harakah Islamiah (Hikmah), Pelita Holdings Sdn Bhd dan Faradale Development Sdn. Bhd.
Projek itu dijadual siap pada Oktober 2020.
Abang Johari berkata beliau akan mengkaji pendekatan sesuai untuk membantu masyarakat Melayu membangunkan tanah mereka di bandar bagi membolehkan ia terus terpelihara dan pada masa sama membantu mereka melakukan pelaburan yang baik.
Mengenai projek Hikmah Exchange, beliau berkata ia akan menjadi mercu tanda baharu di bandaraya ini dan kebanggaan masyarakat Melayu.
Katanya ia akan menjadi bangunan pintar atau digital pertama di negeri ini dengan bantuan Telekom Malaysia Berhad.
-- BERNAMA
#Abang Johari Tun Openg #Melayu #pemilikan tanah #Sarawak #tanah