Skip to main content

Malaysia

Sarawak anjur pameran mumia Mesir pertama di Asia Tenggara tahun depan

Pameran eksklusif Egyptian Mummies: Journey Towards Immortality itu akan diadakan di Muzium Budaya Borneo (BCM) selama enam bulan bermula Julai tahun depan. - Gambar fail
Pameran eksklusif Egyptian Mummies: Journey Towards Immortality itu akan diadakan di Muzium Budaya Borneo (BCM) selama enam bulan bermula Julai tahun depan. - Gambar fail

Advertisement

KUCHING: Sarawak akan menjadi lokasi pameran antarabangsa berskala besar yang menampilkan artifak serta jasad manusia sebenar berusia lebih 5,000 tahun dari Muzium Arkeologi Kebangsaan Florence, Itali tahun depan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pameran eksklusif Egyptian Mummies: Journey Towards Immortality itu akan diadakan di Muzium Budaya Borneo (BCM) selama enam bulan bermula Julai tahun depan.

“Ia merupakan kali pertama pameran seumpama ini diadakan di Asia Tenggara… selalunya pameran-pameran macam ini dengan muzium, kolaborasi, biasanya akan berlangsung dalam tempoh agak panjang.

“Kerana nak membawa benda tu (artifak) sudah berapa susah dan kalau nak buat untuk satu bulan, tidak berbaloi. Jadi, kita akan adakan selama enam bulan dan ia bakal menjadi tarikan baharu epada penduduk tempatan,” katanya kepada pemberita selepas menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, kejayaan Jabatan Muzium Sarawak membawa pameran bertaraf antarabangsa itu mencerminkan keupayaan dan pendekatan proaktif agensi berkenaan dalam menjalin kerjasama strategik dengan muzium terkemuka dunia.

Sementara itu, ketika menggulung perbahasan, beliau berkata, sektor pelancongan Sarawak terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan merekodkan 3.52 juta ketibaan pelawat serta menjana RM9 bilion hasil pelancongan bagi tempoh Januari hingga September 2025.

“ASEAN kekal sebagai pasaran utama kita dengan Brunei dan Indonesia merangkumi 46.5 peratus daripada jumlah ketibaan pelawat, manakala Singapura, Filipina dan Thailand turut menjadi penyumbang utama,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement